KUALA LUMPUR - Dua individu termasuk seorang pengarah bergelar datuk serta jurutera sebuah jabatan kerajaan yang ditahan Isnin lalu berkaitan tawaran kerja kontrak pembangunan dan senggaraan dipercayai menerima sekitar enam hingga 11 peratus komisyen bagi setiap projek diluluskan.
Sumber berkata, setiap syarikat yang ingin mendapatkan projek terbabit dipercayai perlu membayar komisyen melibatkan tender dan projek yang dikawal mereka.
"Individu bergelar Datuk itu juga pernah bertugas di Selangor dan berperanan meluluskan setiap projek terbabit sejak 2021 manakala jurutera terbabit berperanan berunding dengan syarikat bagi membincangkan sebut harga," katanya.
Menurut sumber, pasangan suami isteri bersama bapanya yang merupakan seorang pemilik syarikat bergelar Datuk dan seorang kontraktor ditahan turut memonopoli urusan itu dan dipercayai membayar rasuah kepada penjawat awam terbabit.
"Siasatan dijalankan mendapati kurang 10 projek telah diluluskan pengarah terbabit bagi tempoh tahun ini sahaja.
"Mereka ini dipercayai mengawal projek senggaraan di Kuala Lumpur dan dianggap kartel projek senggaraan dengan syarikat yang ingin masuk kerana perlu memberi komisyen ditetapkan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan enam individu termasuk pengarah bergelar Datuk serta jurutera jabatan kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin dipercayai menerima rasuah ratusan ribu ringgit membabitkan tawaran kerja kontrak pembangunan dan senggaraan sejak 2021.
Op Kepala yang dijalankan pada Isnin oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM melibatkan 10 buah premis di sekitar Lembah Klang dan Johor.
Dalam operasi sama, SPRM turut menyita dua unit kenderaan jenis Toyota Hilux, wang tunai kira-kira RM165,000 selain membekukan 95 akaun perbankan yang terdiri daripada akaun individu dan syarikat melibatkan jumlah kira-kira RM6 juta.