Sanusi bidas Nik Nazmi, dasar NRES bantutkan usaha Kedah teroka REE di hutan simpan

Iklan
Muhammad Sanusi, Nik Nazmi.

ALOR SETAR - Dasar Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang masih tidak membenarkan sebarang aktiviti perlombongan sumber nadir bumi (REE) dijalankan di kawasan hutan simpan membantutkan usaha kerajaan negeri meneroka galian tersebut secara terkawal.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kedah telah membentangkan cadangan dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) sebanyak dua kali untuk menjadikan Bukit Enggang sebagai lokasi kajian perintis bagi menilai kesan pengekstrakan REE terhadap dirian hutan dan alam sekitar.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima daripada kementerian, sekaligus menimbulkan persoalan terhadap komitmen kerajaan Persekutuan dalam penerokaan sumber alternatif bagi meningkatkan hasil negeri itu.

"Selagi ada dasar kementerian yang tidak benarkan perlombongan REE dalam hutan simpan, SOP (prosedur operasi standard) apa pun tak ada gunanya, ini kerana rizab REE banyak terdapat dalam hutan simpan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Iklan

Menurut Muhammad Sanusi, kerajaan negeri bersedia mematuhi prosedur ketat dan garis panduan ditetapkan untuk memastikan kegiatan penerokaan dilakukan secara berhemah, namun pendekatan yang dicadangkan seolah-olah tidak difahami oleh NRES.

"Dalam dua kali mesyuarat Majlis Tanah Negara, Kedah tawarkan lokasi di Bukit Enggang untuk kajian kesan pengekstrakan REE terhadap dirian hutan atau pokok-pokok dan keseimbangan ekologi, namun sampai sekarang senyap.

Iklan

"Jadi, nak buat SOP apa lagi, kalau sikap mereka macam tu, mereka jadi beku, tak mahu faham,” katanya lagi.

Muhammad Sanusi berkata demikian bagi menyangkal kenyataan Menteri NRES, Nik Nazmi Nik Ahmad yang menafikan dakwaan berhubung berlaku kelewatan disengajakan oleh Kerajaan Persekutuan dalam mengeluarkan SOP bagi perlombongan REE.

Beliau tegaskan, tuduhan tersebut tidak berasas kerana SOP perlombongan REE telah pun disediakan dan diedarkan kepada semua kerajaan negeri sejak Disember tahun lalu.

Sebelum itu, Muhammad Sanusi mendakwa kelewatan pengeluaran SOP REE oleh Kerajaan Persekutuan seolah-olah disengajakan bagi menghalang negeri-negeri di bawah SG4 daripada menjadi lebih maju.

Ini kerana katanya, negeri-negeri SG4 khususnya di Kedah, Kelantan dan Terengganu memiliki sumber REE yang sangat banyak dan berpotensi besar menjana pendapatan lumayan sekiranya dibenarkan diteroka secara sah.

Namun, sehingga kini SOP eksplorasi bagi mengekstrak galian tersebut masih belum dikeluarkan oleh NRES.

Muhammad Sanusi sebelum ini berkali-kali mencadangkan agar NRES mengkaji semula polisi 12, yang tidak membenarkan perlombongan dalam kawasan hutan simpan, memandangkan kebanyakan sumber REE dikenal pasti berada di kawasan tersebut.

Pada 26 November lalu, Muhammad Sanusi memaklumkan, terdapat pelabur telah membentangkan kaedah perlombongan in-situ leaching (ISL), yang tidak melibatkan tebangan pokok dan hanya menggerudi lubang untuk ekstrak REE.

Namun disebabkan ia termasuk dalam aktiviti melombong, ia bertembung dengan Polisi 12.

Berikutan itu juga, pada 4 Oktober 2023, Kedah menawarkan kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik sebagai projek perintis bagi mengkaji dan melihat kesan aktiviti perlombongan REE selepas kerajaan membenarkan penerokaan mineral tersebut dalam negara.