PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Persekutuan dan Sarawak mencapai persefahaman dalam isu Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) melalui pemeteraian satu deklarasi bersama hari ini.
Deklarasi bersama berkenaan ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Perdana Putra.
Dalam sidang media bersama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pemeteraian satu persefahaman yang baik mengenai Petronas dan Petros adalah untuk memajukan Malaysia dan Sarawak.
"Ia melalui dua syarikat besar iaitu Petronas dan Petros. Perkara ini dari segi prinsip telah lama disepakati seperti mana saya rundingkan dengan Premier waktu itu mengenai parameter yang jelas menerima kenyataan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) dan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (Pindaan) (DGO) untuk Sarawak.
"Maknanya, keadaan terkini menuntut kita menerima kenyataan bahawa Sarawak berkembang, lebih matang dan lebih mempunyai keupayaan termasuk mendirikan syarikat minyak negeri yang mempunyai potensi besar,” kata beliau. - Bernama
Anwar berkata persefahaman yang dicapai akan memastikan kedudukan Petronas kekal tidak tergugat manakala peranan Petros sebagai syarikat minyak dan gas (O&G) di Sarawak diiktiraf.
"Peranan Petronas itu tidak tergugat kerana ia meneruskan peranannya tetapi mengambil kira perkembangan baharu dan kuasa yang diperuntukkan kepada Sarawak dan peranan Petros.
"Jadi persefahaman yang kita lakukan ini adalah memastikan pergerakan Petronas diteruskan dan peranan Petros di Sarawak diiktiraf dan kedua-duanya bekerja berganding bahu mengangkat martabat negara bagi industri O&G," katanya.
Anwar berkata kerajaan turut berhasrat menjadikan Sarawak sebagai hab permulaan bagi industri O&G di ASEAN.
"Jadi bagi saya itu kenyataan yang sangat realistik yang akan memberikan kemenangan kepada negara dan keberhasilan mengangkat kedudukan ekonomi Sarawak," katanya.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Peguam Negara Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan Peguam Besar Sarawak Datuk Saferi Ali.
Pada 17 Februari lepas, Anwar berkata Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak memperakui aspirasi Sarawak yang berhasrat menceburi kegiatan industri minyak di negeri berkenaan.
Anwar dilaporkan berkata hasrat itu dipaparkan menerusi DGO 2016 (Pindaan) yang berkuat kuasa pada 1 Mac 2025.