Pendaratan tuna di Pulau Pinang meningkat 143 peratus

Iklan
Fahmi

GEORGE TOWN - Pulau Pinang mencatat lonjakan besar dalam industri pendaratan ikan tuna apabila sebanyak 431,000 kilogram (kg) direkodkan pada tahun lalu, meningkat lebih 143 peratus berbanding hanya 177,000kg pada tahun 2023.

Exco Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata, peningkatan itu turut melibatkan nilai pendaratan iaitu RM7.76 juta bagi 2024 berbanding RM3.19 juta pada 2023.

Iklan
Iklan

"Trend ini menunjukkan potensi besar Pulau Pinang untuk muncul sebagai hab utama pendaratan serta pemprosesan tuna negara bagi pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya ketika sesi penggulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pada Rabu.

Fahmi (PKR-Pantai Jerejak) berkata, kerajaan negeri sedang merangka strategi jangka panjang dengan memberi tumpuan terhadap penambahbaikan fasiliti, infrastruktur, logistik dan perkhidmatan sokongan berkaitan industri itu.

Iklan

"Beberapa lokasi strategik juga sedang dipertimbangkan bagi mewujudkan pelabuhan pendaratan tuna baharu, namun berdepan kekangan dari segi pemilikan tanah dan kesesuaian paras air untuk kapal tuna berlabuh.

"Usaha ini diyakini mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negeri menerusi penyediaan peluang pekerjaan, pembangunan industri hiliran serta pembinaan pusat pemprosesan tuna berteknologi tinggi bagi menghasilkan produk makanan laut premium,” katanya.

Iklan

Tambahnya, operasi pendaratan tuna yang bersifat eksklusif di negeri ini juga berpotensi dijadikan produk pelancongan baharu yang mampu menarik kehadiran pelawat tempatan dan antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, sektor perikanan Pulau Pinang secara keseluruhan turut mencatat peningkatan memberangsangkan dengan jumlah pendaratan hasil laut sebanyak 39,231.34 tan metrik tahun ini, berbanding 38,226.24 tan metrik pada 2023.

Mengulas pencapaian itu, Fahmi berkata, ia mencerminkan kejayaan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

"Kerajaan negeri amat menghargai sokongan KPKM yang meluluskan dua projek penting iaitu naik taraf Jeti Pendaratan Ikan di Sungai Chenaam, Nibong Tebal dengan peruntukan RM370,000 dan penyediaan peranti 'Break to Protect' (B2P) untuk mengekang serangan lintah di kolam ternakan akuakultur bernilai RM350,000,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga sedang membangunkan kawasan ternakan akuakultur baharu di Sungai Semilang, Juru bagi memperkasa industri itu dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.