Jeritan anak jadi penyelamat

Iklan
Uzair di hadapan rumahnya di Taman PSJ, Sungai Karang yang terbakar pada tengah malam Selasa.

KUANTAN – Suara jeritan anak yang pada awalnya disangka bergaduh telah menyelamatkan tujuh sekeluarga daripada terperangkap dalam rumah mereka yang terbakar di Taman PSJ, Sungai Karang di sini, tengah malam Selasa.

Disebabkan jeritan itu, Uzair Md Lateh, 41, yang berada dalam bilik di tingkat atas, bergegas turun sebelum menyedari ruang bawah rumah telah dipenuhi asap.

Iklan
Iklan

Juruteknik di sebuah syarikat di Gebeng itu segera meminta isteri dan anak-anak menyelamatkan diri selepas ternampak api dari salah sebuah bilik di tingkat bawah.

"Alhamdulillah, kebakaran disedari dengan cepat, jadi semua ahli keluarga sempat keluar menyelamatkan diri.

Iklan

Anggota bomba dari BBP Gebeng dan Indera Mahkota bersama dua jentera tiba di lokasi untuk bantuan memadam kebakaran.

"Bagaimanapun, dalam keadaan kelam-kabut itu, anak sulung saya, Ainul Mardhiah, 15, melecur di bahagian jari, mungkin kerana terkena api ketika cuba menyelamatkan beg sekolahnya.

Iklan

"Anak bongsu, Daniel Abid, 5, cedera di pergelangan tangan tetapi saya tidak pasti bagaimana dia boleh tercedera,” katanya ketika ditemui di rumahnya pada Rabu.

Uzair berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam ketika mereka sekeluarga baru hendak tidur.

"Anak-anak tidur di bilik bawah, dan saya berada di tingkat atas.

Salah seorang mangsa cedera ringan dirawat di tempat kejadian oleh petugas EMRS BBP Gebeng.

"Baru nak rebahkan badan, tiba-tiba terdengar jeritan anak. Syukur, kebakaran disedari awal dan semua selamat,” katanya yang telah menetap di rumah itu sejak 2018.

Menurutnya, buat sementara waktu, mereka sekeluarga mungkin tinggal di rumah sementara yang disediakan oleh majikan.

"Punca sebenar kebakaran saya sendiri belum pasti dan masih menunggu hasil siasatan pihak bomba,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.33 malam.

Menurutnya, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng dan Indera Mahkota bersama dua jentera telah dikerahkan ke lokasi bagi membantu memadam kebakaran.

"Operasi pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula pam air tangki jentera sehingga kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.56 malam, manakala operasi ditamatkan kira-kira setengah jam kemudian,” katanya.

Beliau berkata, terdapat dua mangsa yang cedera ringan dan telah dirawat di lokasi kejadian oleh petugas Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) BBP Gebeng.

"Kebakaran melibatkan bilik di bahagian bawah dan dapur rumah teres dua tingkat lot tepi, dengan peratusan kemusnahan kira-kira 40 peratus,” katanya.