SEPANG - [DIKEMAS KINI] Penahanan 25 warga asing membongkarkan kegiatan empat pegawai sebuah agensi penguatkuasaan dipercayai bersubahat membantu melepasi pemeriksaan imigresen menerusi operasi dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara Januari hingga April lalu.
Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memaklumkan empat pegawai terbabit disiasat kerana didakwa bersubahat membantu warganegara asing melepasi pemeriksaan imigresen dalam tempoh yang sama.
"Kesemua 25 warga asing terdiri daripada warga Vietnam, Kemboja, India, dan Indonesia itu ditahan kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini dan pengesahan masuk mereka disyaki telah diperoleh tanpa prosedur yang sah.
"Penahanan itu dilakukan hasil pemeriksaan dan pemantauan berterusan oleh AKPS KLIA sepanjang tempoh berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, sementara itu, empat pegawai yang disiasat tersebut disyaki terlibat dalam aktiviti 'counter setting', iaitu amalan melepaskan individu tertentu melalui kaunter pemeriksaan tanpa melalui prosedur yang sah dan teratur.
"AKPS amat memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau individu yang terlibat dalam sebarang salah laku atau perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara.
"Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk tindakan tatatertib terhadap pegawai-pegawai yang terbabit," katanya.
Jelasnya, AKPS terus mempergiatkan usaha pemantauan serta memperkemas mekanisme penguatkuasaan.
"Langkah ini bagi memastikan pintu masuk negara tidak disalah guna oleh mana-mana pihak yang cuba menjejaskan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara," katanya.