[VIDEO] Nahas FRU: Emosi waris belum pulih, anak termenung ingat 'babah'

Iklan

IPOH – Biarpun sudah seminggu kejadian nahas tragis mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan berlalu, emosi ahli keluarga masih belum pulih sepenuhnya.

Bagi Noor Hasliza Mohd Hadzri, 32, isteri kepada Allahyarham Koperal Muhammad Akmal Muhammad yang terkorban dalam nahas itu mengakui emosinya masih terganggu kerana pemergian suaminya dalam keadaan mengejut.

Iklan
Iklan

Dia bagaimanapun tetap reda dengan pemergian suaminya kerana meninggal dunia dalam keadaan baik.

"Emosi saya memang tak stabil lagi sebab arwah pergi mengejut. Terima (pemergian suami) itu mungkin ambil masa sikit tapi saya reda sebab dia pergi dalam keadaan baik. Jenazah dia wangi masa saya buat pengecaman mayat itu pun masa masih berdarah itu pun wangi dah.

Iklan

"Jadi orang kata dia pergi itu dalam keadaan dah baik cuma di bahagian saya ambil masa sikit nak terima dengan keadaan baru, suasana baru, rutin yang baru," katanya ketika ditemui pemberita di Bandar Baru Putra, Bercham di sini pada Selasa.

Hadir sama dalam program Ziarah Kasih Menyantuni Waris Anggota FRU itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Iklan
Noor Hasliza (kanan) menerima kunjungan Noraini di rumah mentuanya di Bandar Baru Bercham di sini pada Selasa.

Ibu kepada dua anak itu turut mengakui masih dalam proses menyesuaikan diri dengan kehilangan insan tersayang yang pergi dalam sekelip mata.

Menurutnya, meskipun anak sulung mereka, Mohamad Adam Harris, 6, sudah boleh menerima hakikat bahawa bapanya telah tiada, namun anak bongsu mereka, Nur Aqeela Nadine yang berusia setahun, masih tercari-cari kelibat arwah.

Tambahnya lagi, walaupun anak sulung yang bersekolah di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) itu kelihatan tenang, kadang-kadang dia akan termenung dan menjadi pendiam.

"Bila saya nampak dia macam tu, saya akan tanya ‘Along okay ke? Jangan sedih ya... kalau sedih, sedekahkan al-Fatihah untuk babah sebab kita semua sayang babah.

"Adam Harris sekarang ini kalau saya tanya, dia jawab ‘babah dah meninggal, babah dah ada kat syurga’. Tapi adik dia lain... saya perasan sejak arwah tak ada, dia macam mencari-cari. Asyik sebut babah, merengek, macam tanya mana babah dia,” katanya sayu.

Noor Hasliza yang bertugas sebagai pentadbir kewangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh turut menyimpan beberapa barangan peribadi milik arwah sebagai kenangan, termasuk tali nama pada uniform dan sehelai baju t-shirt yang dipakai suaminya.

"Uniform arwah yang berdarah banyak tu saya tanam, tapi saya simpan strap nama dia, logo FRU dan baju dalam yang masih boleh dibasuh.

"Anak-anak belum tengok semua, cuma strap itu je dia pernah nampak,” katanya.

Buat sementara waktu, Noor Hasliza dan anak-anak tinggal bersama keluarga mentua sementara menyesuaikan diri dengan fasa hidup baharu.

Dalam kejadian pada 13 Mei lalu kira-kira jam 8.50 pagi itu, trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam menuju ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu kerikil.

Lapan anggota maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan sementara lapan lagi anggota mengalami kecederaan dan dirawat di hospital sama.