SEMPORNA - Seorang pelancong warga China dilaporkan lemas ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Sipadan dekat sini pada Isnin.
Lelaki berusia 37 tahun itu dikatakan tenggelam selepas turun ke laut tanpa kebenaran jurulatih sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kedalaman kira-kira 25 meter.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Sabri Zainol berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.45 petang daripada seorang pengadu yang merupakan jurulatih selam.
"Menurut pengadu, ketika kejadian dia bersama empat lagi rakan jurulatih selam lain telah membawa lapan penyelam dari pelbagai negara ke perairan Pulau Sipadan untuk melakukan aktiviti menyelam.
"Pada jam kira-kira 10.45 pagi, seorang pelancong lelaki warga China telah turun ke dalam laut tanpa kebenaran jurulatih dan terus tenggelam.
"Pemandu bot kemudian mendapati mangsa dalam keadaan panik dan memberitahu jurulatih kejadian tersebut, lalu salah seorang pemandu penyelam telah mencari mangsa sebelum menemuinya pada kedalaman kira-kira 25 meter dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Sabri berkata, susulan penemuan itu, mangsa dibawa naik ke atas bot untuk diberikan bantuan pernafasan (CPR) namun masih tidak sedarkan diri.
"Mangsa hanya memberi respons dengan menarik nafas panjang dan muntah-muntah, namun masih dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Semporna untuk menerima rawatan lanjut sebelum dibawa ke Hospital Tawau, namun telah disahkan meninggal dunia setelah tiba di hospital tersebut," katanya.
Menurut Mohd Sabri lagi, mangsa datang ke pulau tersebut untuk melakukan aktiviti menyelam bersama isterinya dan ketika kejadian, wanita tersebut turut berada di atas bot.
"Kertas siasatan telah dibuka dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan proses bedah siasat akan dijalankan pada jam 3 petang hari ini di Hospital Tawau.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintenden Mohammad Ali Amat di talian 013-2120852 atau tampil untuk menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.