GEORGE TOWN - Sebutir bom lama yang dipercayai tinggalan era Perang Dunia Kedua ditemui di sebuah tapak projek pembinaan di Jalan Seri Tanjung Pinang, Tanjung Tokong, di sini pada malam Isnin.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan objek berbahaya itu kira-kira jam 9.42 malam.
Iklan
Iklan
Menurutnya, sepasukan anggota dari Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan lanjut.
"Hasil siasatan mendapati objek berkenaan merupakan bom jenis unexploded ordnance (UXO) yang tidak meletup dan dipercayai tinggalan era Perang Dunia Kedua.
"Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, UPB akan melaksanakan kerja-kerja pelupusan bom berkenaan pada Selasa dan kawasan tersebut telah disahkan selamat.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sekiranya menemui sebarang objek mencurigakan di kawasan awam," tambahnya.