Teknologi AI perkukuh reformasi sektor awam - KPPA

Iklan
Wan Ahmad Dahlan ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa ke-4 mengenai Kerajaan dan Hal Ehwal Awam (ICOGPA) di UUM pada Isnin.

SINTOK – Penjawat awam digesa untuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai pemangkin utama dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan agar lebih cekap, pantas dan berkesan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, penggunaan AI kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan mendesak dalam usaha merealisasikan reformasi sektor awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah ini selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai, kemanusiaan dan kesejahteraan rakyat.

"Teknologi AI boleh mempercepatkan perkongsian data antara agensi, mempertajam analisis keperluan rakyat serta memperibadikan penyampaian perkhidmatan.

Iklan

"Inilah pemangkin kepada transformasi sektor awam yang lebih dinamik dan berorientasikan rakyat,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara UUM dan IIM, di UUM pada Isnin.

Beliau berkata demikian semasa ucapan perasmian Persidangan Antarabangsa Ke-4 mengenai Kerajaan dan Hal Ehwal Awam (ICOGPA) serta Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM), di UUM, pada Isnin.

Iklan

Turut hadir, Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan.

Wan Ahmad Dahlan menegaskan bahawa dalam era masyarakat yang semakin celik teknologi, kerajaan perlu tampil lebih bertanggungjawab dan berintegriti dalam setiap tindakan.

"Dalam kita mendakap AI, kita harus bersedia untuk beradaptasi dan memperbaharui pendekatan tanpa mengorbankan asas nilai yang telah lama dipegang,” ujarnya.

Tambah beliau, kejayaan Malaysia Madani hanya boleh dicapai berlandaskan nilai moral yang kukuh, mekanisme reformasi yang jelas, dan penerapan teknologi pemangkin seperti AI yang digunakan secara bijaksana dan bertanggungjawab.

"Perkhidmatan awam tidak lagi boleh bergerak secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama strategik merentas kementerian, jabatan, sektor swasta serta industri dalam meruntuhkan tembok ‘silo’ yang menghalang keberkesanan penyampaian perkhidmatan.

"Perkongsian sumber secara optimum mampu mencipta impak yang lebih besar dan berkesan. AI akan menjadi tulang belakang pembangunan digital yang mempercepatkan reformasi sektor awam,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak termasuk golongan akademia, industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi integriti supaya memainkan peranan aktif dalam membina ekosistem tadbir urus negara yang berteraskan prinsip dan keazaman jitu.

"Akademia harus kekal sebagai suara hati dasar kerajaan; industri perlu menjadi pelopor kepada etika dan inovasi; manakala NGO wajar menjadi mekanisme semak dan imbang yang memastikan kuasa dilaksanakan secara telus.

"Institusi seperti IIM pula harus terus menjadi peneraju dalam mengemudi pemikiran dasar, membina kapasiti serta mempercepatkan reformasi demi memastikan integriti kekal sebagai agenda utama negara,” ujarnya.