BACHOK - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan seramai 1,500 penagih telah secara sukarela menyerah diri kepada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) untuk menjalani rawatan pemulihan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah terbabit direkodkan daripada 6,000 klien yang berada di 30 PUSPEN seluruh negara.
"Manakala selebihnya iaitu 50,000 klien berada dalam komuniti. Dengan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang baharu dibuat ini, kita boleh tarik dan dorong mereka (penagih) untuk serah diri.
"Di mana mereka tidak perlu takut dengan stigma mereka telah melakukan jenayah. Ini kerana kalau mereka masuk secara sukarela, nama tidak akan ada dalam rekod jenayah," katanya kepada pemberita pada Majlis Bersahur bersama klien sempena Program Penerapan Nilai-nilai Murni di PUSPEN Bachok di sini pada Ahad.
Menurut beliau, jika penagih masuk secara sukarela, separuh daripada tugasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sudah selesai kerana mereka sendiri memilih untuk dirawat.
Ujarnya, satu lagi melalui perintah mahkamah apabila mereka diketahui terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
"Jadi stigmanya apabila mereka terlibat kalau dilihat dari kaca mata mereka melakukan jenayah. Kita mahu mereka dilihat sebagai pesakit yang perlu dirawat," katanya.
Saifuddin Nasution memberitahu, mereka akan berada di PUSPEN selama dua tahun namun tidak semestinya dalam tempoh tersebut.
Beliau berkata, pihaknya akan menilai dari segi disiplin dan perkembangan pemulihan di mana kalau mereka menunjukkan semua tanda-tanda lebih positif, maka boleh keluar lebih awal.
Tambahnya, kayu ukur kepada keberkesanan program ini adalah apabila klien tidak mengulangi tabiat yang sama.
"AADK berbangga kerana peratusan pemulihan agak tinggi, tahap keberkesanan pemulihan mencecah 80 peratus. Kita ukur melalui klien yang selesai dirawat sama ada mereka masuk semula ke sini atau tidak.
"Di pihak AADK pula akan meneruskan pemantauan kerana sebahagian daripada klien di tempat kan di institusi dan selebihnya ramai di komuniti," katanya.