PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) pada Isnin menerbitkan Laporan Bersepadu bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (IR2024), yang meliputi piawaian pelaporan dan jaminan (asurans) yang dipertingkatkan.
Laporan tersebut turut memaparkan perincian mengenai aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta inisiatif iklim yang lebih meluas, selaras dengan usaha PNB untuk terus menyampaikan ketelusan, penciptaan nilai lestari dan penjajaran kepada amalan terbaik global.
PNB mencatatkan rekod pembayaran sebanyak RM14.5 bilion dalam bentuk agihan pendapatan dan bonus kepada pemegang unit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (TK2024), didorong oleh persekitaran makroekonomi dan pasaran modal yang positif serta strategi kepelbagaian aset yang berterusan.
Pendapatan bersih kumpulan turut meningkat sebanyak 30.2 peratus, daripada RM13.04 bilion pada 2023 kepada RM16.97 bilion.
Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda berkata, pihaknya berbesar hati dengan prestasi kukuh yang dicapai oleh PNB bagi tahun 2024.
"Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) telah mengagihkan dividen tertinggi, memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia. Dana utama kami, Amanah Saham Bumiputera (ASB), mengagihkan pendapatan sebanyak 5.75 sen, iaitu yang tertinggi dalam tempoh lima tahun terakhir.
"Kesemua 18 dana FP dan VP kami telah mengatasi penanda aras masing-masing, dengan 11 daripada 12 dana VP tersenarai di kuartil pertama atau kedua dalam kumpulan setara mereka.
"Prestasi ini mencerminkan daya tahan jangka panjang PNB dalam merealisasikan matlamatnya untuk memperkukuh kedudukan kewangan rakyat merentasi generasi,” katanya dalam kenyataan.
PNB kekal sebagai syarikat pengurusan aset pilihan utama yang dipercayai rakyat Malaysia, dengan bilangan pemegang akaun unik meningkat kepada 13.1 juta dan jumlah akaun mencecah 16.2 juta, iaitu yang tertinggi setakat ini.
Sehubungan itu, jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) turut pulih kepada RM348.3 bilion, meningkat daripada RM337.0 bilion pada tahun sebelumnya.
Selain maklumat yang lebih luas, Laporan Bersepadu 2024 turut mencerminkan kemajuan PNB sepanjang tahun lalu, termasuk pelaksanaan inisiatif strategik seperti Pelan Strategik LEAP 6 yang menetapkan sasaran untuk meningkatkan AUM kepada RM400 bilion menjelang 2027.
Ia turut merangkumi penjenamaan semula ASNB untuk menarik minat generasi muda, pelancaran penasihat pelaburan digital Ria, serta program literasi kewangan ‘Celik Madani’ sebagai sebahagian daripada strategi ASNB untuk mengembangkan tabungan rakyat Malaysia.
Laporan itu juga menumpukan kepada kemajuan signifikan PNB dalam memajukan agenda kelestarian, termasuk sasaran mencapai pelepasan sifar bersih di peringkat syarikat dan portfolio, serta memperjuangkan pelaksanaan gaji kehidupan wajar minimum di seluruh sektor korporat Malaysia.
Menuju tahun 2025, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, situasi geopolitik dan perubahan dasar perdagangan global, khususnya Amerika Syarikat, akan menjadikan landskap makroekonomi dan pasaran modal semakin tidak menentu serta berisiko tinggi.
"Bagi mendepani cabaran ini, PNB akan terus melaksanakan inisiatif strategik merentasi enam teras utama di bawah pelan strategik kami.
"Fokus kami kekal untuk melestarikan prestasi dana-dana melalui strategi kepelbagaian aset secara berterusan, selaras dengan komitmen untuk memberikan pulangan yang konsisten dan berdaya saing kepada pemegang unit,” katanya.
Menurutnya, cabaran paling mendesak kini adalah menggalakkan rakyat Malaysia menabung dan melabur bersama ASNB, memandangkan perubahan tabiat perbelanjaan dan tekanan terhadap pendapatan boleh guna telah mengurangkan kecenderungan menabung secara sukarela berbanding lima atau sepuluh tahun lalu.
"Namun begitu, kami optimis dapat mengatasi perkara ini dengan memperkukuh keupayaan jualan dan pengedaran, disokong oleh inovasi produk, program literasi kewangan, serta peluasan platform digital dan fizikal,” tambahnya.