Maybank catat untung bersih RM10.51 bilion

Iklan
Maybank mencatatkan peningkatan 4.2 peratus dalam keuntungan bersihnya kepada RM10.51 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Malayan Banking Bhd (Maybank) mencatatkan peningkatan 4.2 peratus dalam keuntungan bersihnya kepada RM10.51 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2025 (TK2025), daripada RM10.08 bilion pada tahun sebelumnya.

Peningkatan yang positif itu disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang stabil, pengurusan kos yang berdisiplin dan kualiti aset yang berdaya tahan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, hasil merosot kepada RM66.36 bilion daripada RM68.94 bilion sebelumnya, menurut bank itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Mengenai pendapatan faedah bersih dan pendapatan perbankan Islam, ia meningkat sebanyak RM656.5 juta, atau 3.1 peratus, kepada RM21.81 bilion pada TK2025.

Iklan

Pendapatan perkhidmatan insurans dan takaful turut naik sebanyak RM471.2 juta, atau 36.7 peratus tahun ke tahun, kepada RM1.75 bilion.

Bagaimanapun, pendapatan operasi lain susut sedikit kepada RM9.01 bilion daripada RM9.06 bilion, terutamanya disebabkan kerugian belum direalisasi pada nilai pasaran sebanyak RM66.4 juta ke atas liabiliti kewangan pada nilai saksama melalui untung atau rugi (FVTPL) dan keuntungan yang lebih rendah sebanyak RM629.2 juta daripada pelupusan aset kewangan pada FVTPL.

Iklan

Pendapatan operasi lain menyusut kepada RM9.01 bilion daripada RM9.06 bilion, terutamanya disebabkan kerugian belum direalisasi pada nilai pasaran sebanyak RM66.4 juta ke atas liabiliti kewangan pada nilai saksama melalui untung atau rugi (FVTPL) dan keuntungan yang lebih rendah sebanyak RM629.2 juta daripada pelupusan aset kewangan pada FVTPL.

Penurunan itu sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan direalisasi yang lebih tinggi sebanyak RM1.00 bilion daripada derivatif, peningkatan keuntungan pertukaran asing sebanyak RM297.6 juta, kerugian belum direalisasi pada nilai pasaran yang lebih rendah sebanyak RM767.3 juta ke atas derivatif dan keuntungan yang lebih tinggi sebanyak RM212.7 juta daripada pelupusan pelaburan kewangan pada nilai saksama melalui pendapatan komprehensif lain (FVOCI).

Perbelanjaan overhed meningkat 2.6 peratus kepada RM14.83 bilion, didorong oleh kos kakitangan yang lebih tinggi sebanyak RM137.8 juta, perbelanjaan pentadbiran dan am sebanyak RM126.4 juta, kos penubuhan sebanyak RM106.3 juta dan perbelanjaan pemasaran sebanyak RM8.5 juta.

Peruntukan bersih bagi kerugian rosot nilai ke atas pinjaman, pendahuluan, pembiayaan dan hutang lain bertambah baik sebanyak 66.4 peratus kepada RM562.1 juta, manakala peruntukan bersih bagi kerugian rosot nilai ke atas pelaburan kewangan meningkat kepada RM847.2 juta.

Bagi suku keempat (S4) berakhir 31 Disember, 2025, keuntungan bersih meningkat kepada RM2.67 bilion daripada RM2.53 bilion setahun sebelumnya, manakala hasil menyusut kepada RM15.81 bilion daripada RM16.73 bilion.

Pendapatan faedah bersih suku tahunan dan pendapatan perbankan Islam meningkat 7.6 peratus tahun ke tahun kepada RM5.77 bilion, manakala hasil perkhidmatan insurans dan takaful bertambah baik kepada RM584.6 juta.

Pendapatan operasi lain jatuh kepada RM1.49 bilion pada S4, terutamanya disebabkan keuntungan belum direalisasi pada nilai pasaran yang lebih rendah sebanyak RM1.59 bilion ke atas liabiliti kewangan pada FVTPL dan keuntungan yang lebih rendah sebanyak RM460.5 juta daripada pelupusan aset kewangan pada FVTPL.

Penurunan itu diimbangi oleh kerugian belum direalisasi pada nilai pasaran ke atas derivatif yang lebih rendah sebanyak RM611.9 juta, keuntungan belum direalisasi pada nilai pasaran sebanyak RM444.6 juta ke atas pelaburan kewangan pada FVTPL, keuntungan pertukaran asing bersih sebanyak RM75.5 juta dan keuntungan direalisasi ke atas derivatif yang lebih tinggi sebanyak RM191.5 juta.

Peruntukan bersih bagi kerugian rosot nilai ke atas pinjaman, pendahuluan, pembiayaan dan hutang lain menurun sebanyak RM435.9 juta pada suku berkenaan, manakala peruntukan bagi kerugian rosot nilai ke atas pelaburan kewangan berjumlah RM175.4 juta.

Dalam satu kenyataan berasingan, Pengerusi Tan Sri Ir Zamzamzairani Mohd Isa berkata prestasi kumpulan bagi sepanjang tahun mencerminkan daya tahan francais yang pelbagai dan kekuatan imbangan kira-kiranya.

Beliau berkata Maybank mencatatkan keuntungan dan pulangan yang lebih baik sambil mengekalkan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh, disokong oleh pengurusan risiko yang berhemah dan pelaksanaan yang berdisiplin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Shafiq Abdul Jabbar berkata 2025 menandakan berakhirnya strategi M25+ bank itu, di mana ia telah memperkukuh francais serantau, mempercepat transformasi digital dan meningkatkan keupayaan yang berpusatkan pelanggan.

Beliau berkata kumpulan itu telah meningkatkan pendapatan yuran teras, memperkukuh francais deposit, menambah baik kualiti aset dan memperkuat modal, sambil memperdalam kedudukan kepimpinannya di seluruh ASEAN.

Sehubungan itu, Maybank mengisytiharkan dividen tunai interim kedua sebanyak 33 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi TK2025 sebanyak 63 sen sesaham, bersamaan dengan nisbah pembayaran 72.4 peratus dan hasil dividen 6.0 peratus. - Bernama