BAGI meningkatkan akses kepada perkhidmatan Infrastruktur Awam Digital (DPI) di Malaysia dan pasaran pesat membangun di serata rantau ASEAN serta di peringkat global, Kumpulan Bank Dunia melalui cabang sektor swastanya, International Finance Corporation (IFC) mengumumkan pelaburan ekuiti dalam Zetrix AI Berhad (Zetrix AI).
Pelaburan IFC berjumlah RM155.6 juta itu bakal menyokong pembangunan dan pelaksanaan aplikasi DPI berasaskan rantaian blok (blockchain) baharu serta produk yang dipacu kecerdasan buatan (AI) yang bertujuan meningkatkan keterangkuman digital, akses kepada perkhidmatan dan kecekapan ekonomi di Malaysia serta rantau ASEAN yang lebih luas.
Di Malaysia, perkhidmatan baharu ini akan disepadukan dengan ekosistem digital negara melalui MyDigital ID, sistem identiti digital negara dan Malaysia Blockchain Infrastructure (MBI), rangkaian perkhidmatan rantaian blok nasional.
Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia bagi Malaysia, Judith Green berkata, pelaburan ini mencerminkan komitmen IFC dalam memajukan agenda transformasi digital Malaysia selaras Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), 2026-2030.
“Pembangunan perkhidmatan DPI adalah penting untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam, memperkukuh daya saing ekonomi serta memastikan pertumbuhan yang inklusif dan mampan.
“Pelaburan seperti ini membolehkan kami memperluas penyelesaian digital inovatif dan menyokong penciptaan sistem yang berdaya tahan, selamat serta saling kendali yang memperluas akses kepada perkhidmatan dan peluang untuk rakyat serta perniagaan di Malaysia dan pasaran sedang pesat membangun di rantau ASEAN dan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix AI, TS Wong berkata, daripada ID digital kepada pemprosesan pelepasan kastam yang didigitalkan hingga model bahasa besar dan stablecoin, kes penggunaan rentas sempadan dunia sebenar dalam rantaian blok dan AI yang kami laksanakan bertujuan memangkin transformasi disruptif di seluruh ASEAN serta membolehkan integrasi sosioekonomi yang lebih mendalam di rantau ini.
“Dengan penyertaan dan akses pasaran daripada IFC, kami akan mempercepatkan pelan pengembangan global kami,” katanya.
Dalam pada itu, aplikasi dan produk DPI Zetrix AI antara lain bertujuan menjadikan pelbagai perkhidmatan lebih cekap, selamat dan kos efektif termasuk pengesahan ID digital menerusi pendigitalan perdagangan antarabangsa serta penokenan aset dunia sebenar.
Pelaburan ini turut akan menyokong pengembangan perkhidmatan DPI Zetrix AI ke pasaran sedang pesat membangun di ASEAN dan seluruh dunia.