SHAH ALAM – Kerajaan digesa campur tangan bagi menangani cabaran operasi kewangan yang dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) susulan perubahan polisi Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA).
Pengerusi Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Datuk Seri Abdul Malik Abdullah berkata, perubahan tersebut diperkenalkan tanpa rundingan mencukupi bersama pihak berkepentingan, sekali gus memberi kesan besar terhadap landskap peraturan berkaitan pekerja asing di negara ini.
"Pengumuman mengenai perubahan ini dibuat hanya sehari sebelum pelaksanaan, menyebabkan ramai PKS tidak bersedia menampung kos tambahan dan penyesuaian operasi yang diperlukan.
"Peralihan kepada pemeriksaan kesihatan tahunan turut menambah beban pentadbiran kepada PKS, memerlukan sumber khas untuk penjadualan dan pengurusan pematuhan. Ini amat mencabar bagi perniagaan kecil yang mempunyai keupayaan Sumber Manusia (HR) yang terhad,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada Disember 2023, FOMEMA menetapkan syarat baharu yang mewajibkan pemeriksaan kesihatan tahunan ke atas pekerja asing sepanjang tempoh pekerjaan mereka, berbanding setiap dua tahun sebelum ini.
Susulan perubahan itu, yuran pemeriksaan meningkat sebanyak 8.9 peratus daripada RM190 kepada RM208 bagi pekerja lelaki manakala bagi pekerja wanita meningkat 4.8 peratus daripada RM207 kepada RM217.
Dalam pada itu, Abdul Malik berkata, FOMEMA turut menetapkan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang tidak terkawal sebagai kriteria tidak layak bekerja bagi pekerja asing.
"NCD seperti hipertensi, diabetes dan kolesterol tinggi adalah lazim dalam kalangan rakyat Malaysia bekerja, yang turut menyumbang kepada produktiviti serta pertumbuhan negara. Penyakit ini boleh dirawat serta dikawal.
"Negara seperti United Kingdom (UK), Jepun, Jerman, India dan China tidak meletakkan kriteria ini sebagai prasyarat kelayakan bekerja bagi pekerja asing.
"FMBA telah menyuarakan perkara ini kepada beberapa kementerian seperti Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” ujarnya.
Tambah beliau, FMBA turut mencadangkan agar satu salinan laporan pemeriksaan kesihatan disediakan dan diberikan kepada majikan yang tidak mempunyai akses kepada rekod perubatan hasil saringan.
Menurutnya, kos pemeriksaan perubatan yang meningkat turut diburukkan dengan pelbagai perubahan dasar lain yang memberi kesan terhadap majikan.
"Antaranya termasuk pelaksanaan sistem levi pekerja asing berperingkat, peningkatan kadar gaji minimum, sumbangan wajib kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baharu, Skim Bencana Kerja dan Skim Keilatan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), serta pelaksanaan e-invois yang menambah beban kewangan ke atas PKS.
"Justeru, FMBA menggesa agar amalan ini dihentikan oleh FOMEMA dan satu semakan semula dilaksanakan bersama pihak berkepentingan bagi menilai semula rasional serta impak peraturan ini terhadap PKS,” katanya.