Projek teksi air di Pulau Pinang terpaksa ditangguh

Iklan
Zairil

GEORGE TOWN - Hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi air di negeri ini terpaksa ditangguhkan selepas syarikat yang dipilih gagal mematuhi syarat-syarat kelulusan yang ditetapkan oleh agensi berkaitan.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, projek yang mendapat kelulusan bersyarat daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) itu telah melalui beberapa fasa termasuk proses pemilihan syarikat menerusi kaedah Request for Proposal (RFP).

Iklan
Iklan

Menurutnya, cadangan projek tersebut telah dibentangkan kepada MOT pada 25 April 2022, sebelum kelulusan bersyarat diberikan menerusi surat bertarikh 18 Oktober 2022.

"Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah memanggil cadangan RFP bagi melantik syarikat yang berminat untuk melaksanakan perkhidmatan tersebut.

Iklan

"Iklan RFP dibuat pada 12 Disember 2022 dan ditutup pada 27 Februari 2023. Sebanyak dua syarikat telah mengemukakan cadangan dan melalui proses penilaian oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal MBPP,” katanya.

Zairil (DAP–Tanjong Bunga) berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Teh Lai Heng (DAP–Komtar) berhubung status terkini perkhidmatan teksi air pada Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Isnin.

Iklan

Tambah beliau, sebuah syarikat telah dipilih dan diberikan Surat Niat untuk meneruskan pelaksanaan projek, namun syarikat tersebut gagal memperoleh semua kelulusan daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Laut Malaysia, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Pejabat Daerah dan Tanah, serta Jabatan Maritim Malaysia.

"Susulan kegagalan tersebut, Lembaga Perolehan MBPP telah memutuskan untuk membatalkan RFP berkenaan dan surat pembatalan telah dikeluarkan kepada syarikat terbabit pada 17 April lalu.

"Kerajaan negeri kini sedang berbincang dengan pihak MOT untuk mengkaji semula terma dan kebolehlaksanaan projek ini secara lebih terperinci,” ujarnya.

Menurut Zairil, sekiranya RFP dibuka semula pada masa hadapan, kerajaan negeri berharap syarikat yang berminat benar-benar bersedia dan mempunyai kapasiti untuk memenuhi semua keperluan yang ditetapkan.

Projek teksi air ini pada asalnya dicadangkan untuk beroperasi di empat lokasi jeti yang dikenal pasti sesuai sebagai tempat mengambil dan menurunkan penumpang.

Projek yang dijangka beroperasi pada tahun 2024 itu merupakan satu mod pengangkutan awam baharu yang boleh dimanfaatkan oleh orang awam di Pulau Pinang.

Perkhidmatan teksi air ini juga merupakan salah satu komponen dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai RM46 bilion.