Johor perlu kaji semula garis panduan pembangunan pusat data

Iklan
Jefridin

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Negeri Johor disaran meneliti semula garis panduan pembangunan pusat data yang semakin pesat di negeri ini bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan berkata, penilaian semula perlu dilakukan supaya Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dapat dilaksanakan secara telus dan disertakan syarat ketat agar pelaburan terbabit memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat serta alam sekitar.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, Johor menjadi lokasi tumpuan pelabur pusat data global, antaranya di kawasan Sedenak Tech Park (STeP) di Kulai, Nusajaya Tech Park, Iskandar Puteri, dan Johor Bahru. Menurut maklumat pelaburan semasa, Johor mencatat antara jumlah pelaburan pusat data tertinggi di Malaysia.

"Namun, dalam keghairahan kita menarik pelaburan bernilai berbilion ringgit ini, saya ingin membangkitkan beberapa kebimbangan khususnya berkaitan kesan terhadap alam sekitar dan kemampanan sumber,” katanya.

Iklan

Kegusaran itu disuarakan Jefridin ketika membahaskan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Jefridin berkata, antara isu utama ialah keperluan tenaga dan air yang tinggi untuk menyokong operasi pusat data sehingga boleh memberi tekanan kepada sistem utiliti sedia ada.

Iklan

Beliau memaklumkan, kapasiti tenaga elektrik yang dimohon bagi pusat data di Malaysia kini mencecah hampir 11,000 megawatt, iaitu hampir 40 peratus daripada keseluruhan kapasiti penjanaan negara.

"Tambahan pula, kesan kepada alam sekitar semakin jelas apabila berlaku penebangan hutan untuk memberi laluan kepada pembangunan pusat data ini.

"Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan kawasan tadahan air dan habitat biodiversiti, malah meningkatkan pelepasan karbon serta menyumbang kepada perubahan iklim.

"Saya khuatir, jika pembangunan ini tidak dikawal secara lestari, ia boleh meninggalkan kesan jangka panjang terhadap ekosistem negeri ini termasuk keseimbangan guna tanah dan kesejahteraan komuniti setempat,” ujarnya.

Jefridin turut menekankan keperluan mewajibkan syarikat pemilik pusat data melabur semula dalam menaik taraf kemudahan tenaga dan air di kawasan pembangunan mereka.

Tambahnya, pelaburan tersebut harus bersifat kekal dan bukan sementara agar tidak berlaku situasi di mana pihak terlibat meninggalkan negeri ini bersama infrastruktur usang serta kesan alam sekitar yang serius selepas tempoh insentif kerajaan tamat.

Dalam sesi perbahasan sama, beliau turut memohon penjelasan kerajaan negeri mengenai dasar bagi memastikan pembangunan pusat data dilakukan secara mampan dari segi alam sekitar dan sumber bekalan.

Beliau juga mempersoalkan sama ada wujud syarat mandatori kepada pelabur pusat data untuk turut melabur dalam sistem sokongan setempat seperti menaik taraf loji rawatan air dan sistem grid tenaga.

"Bagaimanakah kerajaan negeri memastikan pelaburan ini benar-benar memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Johor, khususnya dalam bentuk pekerjaan bernilai tinggi, dan bukan sekadar menggunakan tanah serta sumber negeri ini secara besar-besaran tanpa pulangan setimpal?

"Kita tidak boleh membiarkan ekonomi digital berkembang dengan mengorbankan sumber asli dan kesejahteraan rakyat.

"Saya yakin, jika dibangunkan dengan perancangan yang bijaksana dan beretika, Johor boleh menjadi model pembangunan pusat data yang mampan di rantau ini,” katanya.