KUALA LUMPUR – Penubuhan Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) merupakan langkah strategik dalam memperkukuh usaha negara mendapatkan semula wang dan aset hasil jenayah rasuah serta penyelewengan yang disembunyikan di luar negara.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan menangani kes kehilangan wang negara akibat jenayah bersindiket yang melibatkan pelbagai pihak bukanlah tugas yang mudah.
Namun, katanya, dengan penubuhan KKFP, ia dapat menyekat kebocoran dan memulangkan semula harta-harta yang telah dicuri.
"Contohnya, pagi tadi dalam taklimat berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), banyak perkara perlu dilakukan dan ia bukan kerja mudah, malah memerlukan kepakaran.
"Tanpa pakar, proses mendapatkan semula wang berkenaan akan mengambil masa yang lebih lama,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran KKFP di Hotel Royale Chulan, di sini pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, dan Akauntan Negara Malaysia, Nor Yati Ahmad.
KKFP diterajui oleh tujuh agensi iaitu Jabatan Audit Negara (JAN), SPRM, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Kumpulan ini berperanan sebagai platform kerjasama strategik rentas agensi dalam usaha membanteras jenayah penipuan perakaunan secara menyeluruh.
Mengulas lanjut mengenai skandal 1MDB, Azam menyifatkannya sebagai kes yang kompleks dan mencabar kerana kebanyakan aset yang dicuri berada di luar negara.
"Kita akan ke arah itu (menggunakan kerjasama KKFP dalam kes 1MDB)... Ini bukan perkara mudah kerana banyak aset berada di luar negara dan bukan semua negara mempunyai kerjasama erat dengan kita.
"Kepakaran ahli KKFP akan digunakan sepenuhnya dalam pengesanan aset melibatkan kerjasama antarabangsa,” ujarnya.
Beliau berkata, KKFP juga memfokuskan kepada aspek pemulangan hasil, dengan jangkaan impak positif dapat dilihat dalam tempoh enam bulan akan datang.
Sementara itu, Wan Suraya dalam ucapannya berkata, penubuhan KKFP adalah pendekatan strategik yang mencerminkan keazaman pelbagai pihak untuk menangani isu berkaitan penyelewengan dan penipuan dalam pelaporan kewangan.
Jelasnya, kumpulan kerja yang ditubuhkan ini bukan sekadar simbolik, malah merupakan satu deklarasi komitmen bersama yang menuntut tindakan konkrit dan kolaboratif.
"JAN bersedia untuk menyumbang kepakaran dalam mengesan dan menilai risiko fraud perakaunan melalui pengauditan yang dilaksanakan.
"Perkara ini juga selaras dengan pindaan Akta Audit 1957 [Akta 62] yang memperluaskan kuasa Ketua Audit Negara dalam pelaksanaan pengauditan terhadap badan lain termasuk syarikat yang menerima jaminan kewangan, serta pelaksanaan audit follow the public money,” ujarnya.