Pulau Pinang berisiko terjejas akibat tarif baharu AS

Iklan
Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Pelaksanaan tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap eksport dari 57 negara dan wilayah mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan pemain industri di Pulau Pinang, khususnya sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang menjadi tunjang kepada ekonomi negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, AS merupakan rakan dagang kedua terbesar Pulau Pinang dengan nilai eksport mencecah RM76 bilion pada tahun 2023, bersamaan 17 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negeri.

Iklan
Iklan

Malah, katanya, lebihan dagangan negeri ini dengan AS pada tahun 2024 dianggarkan sebanyak RM57.7 bilion.

"Pelaksanaan tarif baharu itu sudah tentu memberi tekanan besar kepada landskap perdagangan negeri, memandangkan banyak syarikat di negeri ini bergantung kepada pasaran AS.

Iklan

"Pemain industri eksport kini menilai semula strategi perniagaan dan berdepan kesukaran apabila pesanan daripada AS menjadi perlahan. Ini menjejaskan daya saing dan kesinambungan operasi mereka,” katanya.

Kon Yeow (DAP–Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Gooi Hsiao-Leung (PKR–Bukit Tengah) berhubung impak kenaikan tarif Amerika Syarikat kepada ekonomi negeri.

Iklan

Menurut Kon Yeow, syarikat-syarikat berasaskan eksport juga dilihat menyemak semula unjuran keuntungan masing-masing, selain meneroka penjajaran semula rantaian bekalan bagi menghadapi ketidaktentuan ini.

"Kita melihat banyak pelabur kini mengambil pendekatan tunggu dan lihat, menyebabkan keputusan pelaburan baharu dan perancangan jangka panjang tertangguh,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, sektor E&E dijangka paling terkesan, termasuk kemungkinan berlaku lambakan inventori dari negara serantau ke dalam pasaran Malaysia, sekali gus menekan harga barangan dan meningkatkan jumlah produk tidak terjual.

"Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut tidak terkecuali apabila margin keuntungan mereka dijangka menyusut akibat persaingan harga dan kos operasi yang semakin tinggi.

"PKS bukan sahaja terkesan oleh faktor luaran seperti lambakan barangan asing, tetapi turut berdepan cabaran domestik seperti kenaikan gaji minimum, tarif elektrik dan cukai jualan serta perkhidmatan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berkata, terdapat kebimbangan dalam kalangan pelabur terhadap daya saing industri semikonduktor Pulau Pinang, yang sebelum ini menjadi hab penting eksport ke pasaran Amerika.

"Beberapa syarikat kini sedang mempertimbangkan langkah memindahkan sebahagian operasi ke negara seperti Mexico dan Brazil yang mungkin menerima impak tarif lebih rendah, atau ke AS sendiri, namun keputusan muktamad masih belum dibuat," katanya lagi.

Pada 2 April lalu, Presiden AS, Donald Trump, mengisytiharkan 'Hari Pembebasan' Amerika dari Taman Rose, Rumah Putih, dan menandatangani perintah eksekutif untuk melaksanakan rejim tarif global secara menyeluruh.

Di bawah sistem 'tarif timbal balik' baharu ini, AS akan mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua import serta surcaj tambahan berdasarkan tarif yang dikenakan oleh setiap negara terhadap barangan AS.

Sasaran tarif ini adalah luas dan nyata: 34 peratus terhadap China, 32 peratus terhadap Indonesia, 26 peratus terhadap India, 24 peratus terhadap Malaysia, dan 20 peratus terhadap Kesatuan Eropah, antara lain.

Menurut Biro Analisis Ekonomi AS, Malaysia berada di kedudukan ke-15 dalam senarai AS dengan lebihan dagangan sebanyak AS$24.8 bilion pada tahun 2024.


Pulau Pinang teroka pasaran di Asia, Eropah atasi kebergantungan kepada AS

GEORGE TOWN – Pulau Pinang sedang meneroka pasaran baharu di Asia dan Eropah bagi mengurangkan kebergantungan terhadap Amerika Syarikat (AS), susulan pengenaan tarif sebanyak 24 peratus oleh negara itu ke atas produk Malaysia.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, adalah penting untuk negeri ini kekal berdaya saing, khususnya dalam situasi dasar geopolitik dan perdagangan global yang sentiasa berubah.

"Donald Trump mahu kilang-kilang Amerika kembali ke negara itu, jadi beliau mengenakan tarif yang tinggi supaya operasi kilang tersebut dapat dipindahkan semula ke sana,” katanya.

Kon Yeow (DAP–Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan Gooi Hsio Leong (PKR–Bukit Tengah) mengenai kesan tarif AS ke atas Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Kon Yeow menjelaskan bahawa tidak mudah bagi kilang-kilang di negeri ini untuk berpindah serta-merta kerana ia melibatkan pelbagai pertimbangan lain.

"Walaupun kilang-kilang ini tidak akan berpindah serta-merta, kita tetap perlu melaksanakan usaha mempelbagaikan pasaran supaya tidak hanya bergantung kepada satu pasaran sahaja,” katanya.

Beliau menambah, InvestPenang telah menjalankan misi pelaburan secara berterusan ke Jepun, Korea Selatan, Taiwan, China, Eropah dan Singapura bagi menarik pelabur baharu.

"Malaysia dan negara-negara ASEAN lain mungkin menghadapi rundingan yang kurang tegang dengan Amerika Syarikat berbanding China.

"Namun, Malaysia tetap perlu bersedia menghadapi tarif asas sebanyak 10 peratus dan mempertimbangkan beberapa konsesi demi mencapai hasil yang saling menguntungkan,” ujarnya.

Menurutnya, penangguhan sementara pelaksanaan tarif telah meningkatkan prospek pertumbuhan ekonomi negara, yang boleh membawa ramalan pertumbuhan ke arah yang lebih positif.

"Gencatan tarif selama 90 hari antara AS dan China tidak mungkin membawa kepada perjanjian jangka panjang.

"Pelaksanaan tarif tinggi dijangka akan berterusan. Oleh itu, amat penting untuk Pulau Pinang mempelbagaikan rantaian bekalan.

"Saya percaya kedudukan geografi Malaysia yang strategik, kos buruh yang kompetitif dan kadar pertukaran mata wang yang menggalakkan akan terus menjadikan negara ini pilihan menarik bagi syarikat multinasional (MNC) yang mahu mempelbagaikan operasi mereka,” katanya.


Pulau Pinang ketatkan pemantauan elak insiden letupan gas

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang akan terus memperketatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengelakkan insiden letupan gas seperti yang berlaku di Putra Heights daripada berulang di negeri ini.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, pemantauan keselamatan melibatkan saluran paip gas dan petroleum dijalankan secara berterusan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di bawah dua akta utama.

"JKKP menguatkuasakan dua akta iaitu Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) dan Akta Petroleum (Langkah-langkah Keselamatan) 1984 (PSMA 1984) bagi memastikan keselamatan tempat kerja serta saluran paip petroleum.

"Audit keselamatan terhadap operator talian paip dijalankan setiap tahun bagi menilai tahap pematuhan terhadap aspek pengurusan integriti, penyelenggaraan dan operasi. Sejak 2022, sebanyak tujuh operator telah diaudit, meningkat kepada 14 pada 2023 dan 19 pada tahun ini,” katanya.

Zairil (DAP–Tanjung Bungah) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Zulkefli Bakar (Bersatu–Penanti) mengenai langkah-langkah proaktif kerajaan negeri dalam membendung insiden letupan gas di Pulau Pinang.

Tambah Zairil, pemeriksaan teknikal seperti ujian hidrostatik dan pneumatik turut dijalankan sebagai syarat pengeluaran Surat Kebenaran Mengendali (PTO) oleh JKKP.

"JKKP juga melakukan pemeriksaan tahunan di stesen minyak dan terminal penyimpanan petroleum.

"Hasil pemeriksaan setakat ini adalah memuaskan dengan pematuhan operator terhadap undang-undang sedia ada,” katanya.

Tambah beliau, pemeriksaan mengejut turut dilakukan terhadap talian paip yang tidak memiliki PTO dan tindakan penguatkuasaan akan diambil jika didapati melanggar peraturan.

Mengulas tindakan kerajaan negeri, Zairil berkata, isu keselamatan berkaitan gas dan bahan mudah terbakar turut diteliti dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang diadakan dua kali setahun.

"Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan turut dihadiri agensi-agensi berkaitan serta Pegawai Daerah yang bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

"Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha bersepadu Kerajaan Negeri bagi memastikan semua risiko kebocoran atau letupan gas dapat dikawal dan ditangani lebih awal,” katanya.

Dalam pada itu, Zairil berkata, laluan saluran paip gas utama di bawah projek Peninsular Gas Utilization (PGU) yang merentasi negeri ini melibatkan jajaran sepanjang kira-kira 42 kilometer bermula dari sempadan Sungai Kerian di Parit Buntar hingga ke kawasan Pinang Tunggal sebelum melintasi Sungai Muda ke negeri Kedah.

"Jajaran paip itu melalui beberapa kawasan utama antaranya Relau, Machang Bubuk, Mengkuang, Ara Kuda dan Kampung Selamat yang menjadi laluan penting dalam pengagihan bekalan gas asli dari selatan ke utara Semenanjung Malaysia.

"PGU yang bermula dari Kerteh, Terengganu menuju ke Segamat, Johor turut mempunyai dua cabang laluan utama, satu ke selatan Semenanjung menuju ke Pasir Gudang dan satu lagi ke arah utara melalui Kapar, Selangor hingga ke Kedah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lee Khai Loon (PKR–Machang Bubuk) mengenai senarai laluan saluran paip gas utama (PGU) yang melalui Pulau Pinang mengikut jarak dan lokasi dalam peta.

Tambah Zairil, selain itu, terdapat satu jajaran sisi sepanjang 23 kilometer yang menghubungkan paip gas utama PGU ke beberapa stesen janakuasa utama di negeri ini.

"Jajaran tersebut menyalurkan bekalan gas asli ke Stesen Janakuasa SKS Prai, Stesen Janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) Prai, serta Stesen Janakuasa TNB Gelugor bagi memastikan kelangsungan bekalan tenaga di kawasan industri dan domestik.

"Peranan penting jaringan PGU di Pulau Pinang bukan sahaja memperkukuh infrastruktur tenaga negara, malah menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi dengan menyokong keperluan tenaga di kawasan perindustrian dan perbandaran," katanya.

Tambah beliau, keseluruhan sistem paip PGU itu direka bentuk dengan tahap keselamatan tertinggi, termasuk pemantauan berterusan bagi menjamin bekalan gas asli yang stabil dan selamat kepada pengguna di seluruh Semenanjung Malaysia.