ISLAMABAD – Sejarah tercipta di ruang angkasa Pakistan apabila Leftenan Penerbang Ayesha Farooq berjaya menembak jatuh jet pejuang Rafale milik India yang menceroboh ruang udara Punjab ketika konfrontasi ketenteraan tercetus pada awal bulan lalu.
Tindakan berani Ayesha, 37, bukan sahaja menjadi tajuk utama media global, malah menjadi detik penentu dalam angkatan tentera Asia Selatan yang membuka laluan baharu kepada golongan wanita untuk menyertai pasukan tersebut serta menjadi pemangkin kepada peralihan budaya konservatif.
Pada malam 6 Mei lalu, juruterbang tempur wanita pertama Angkatan Udara Pakistan (PAF) itu yang mengendalikan jet F-16 Fighting Falcon dikatakan menggempur musuh dalam tempoh 27 saat dengan melancarkan misil AIM-120C AMRAAM, dan mengambil masa 8.7 saat untuk menembak sasaran yang kemudiannya 'lenyap' tanpa jejak dalam tempoh empat saat.
Kejayaan itu bukan sahaja dianggap sebagai pencapaian taktikal, malah menjadi detik perubahan besar apabila komuniti pertahanan global memuji ketangkasan Ayesha menghadapi provokasi musuh. Penganalisis ketenteraan menyifatkan misi yang berjaya dilaksanakan beliau sebagai kemenangan simbolik.
Ketika ini, terdapat kira-kira 316 wanita yang berkhidmat dalam PAF, namun hanya lima daripadanya layak untuk menerbangkan jet pejuang. Ayesha kini merupakan satu-satunya juruterbang wanita yang diberi kepercayaan terlibat dalam operasi tempur sebenar.
"Golongan wanita dalam masyarakat di Islamabad tidak pernah terfikir untuk melakukan kerja setanding lelaki seperti menerbangkan pesawat,” katanya.
Peranan besar beliau mencabar norma masyarakat di Asia Selatan yang secara tradisional jarang membabitkan wanita dalam pertempuran. Keberanian Ayesha kini memberi inspirasi kepada ribuan wanita lain untuk mengejar kerjaya yang dahulunya dianggap mustahil dicapai oleh golongan tersebut.
"Kita memikul beban yang serupa dan berdiri di atas tanah yang sama,” ujar Ayesha, merujuk kepada kesaksamaan dan tanggungjawab dalam PAF.
Peristiwa jet Rafale yang ditembak jatuh oleh Ayesha telah disahkan beberapa pemerhati tentera antarabangsa dan turut diakui oleh pusat pertahanan Perancis. Media Barat termasuk Reuters memuji kejayaan beliau serta keupayaan strategik Pakistan yang sering dipandang rendah oleh New Delhi.
Ayesha, yang sangat berdedikasi terhadap peranannya dalam PAF, menghabiskan antara 14 hingga 18 jam sehari untuk latihan serta melaksanakan tugas bersama pasukannya.
"Tiada sesiapa beri layanan berbeza hanya kerana anda seorang wanita. Ketika di dalam kokpit, apa yang penting hanyalah kemahiran anda,” ujarnya, yang diiktiraf sebagai antara juruterbang paling mahir di Pakistan.
Ayesha Farooq dilahirkan pada 24 Ogos 1987 di bandar timur Bahawalpur. Beliau kehilangan bapanya ketika berusia tiga tahun dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh ibunya yang tabah.
Sejak kecil, Ayesha sudah menunjukkan minat terhadap pakaian seragam tentera dan impian itu menjadi kenyataan apabila beliau berjaya menyertai akademi PAF.
Pada tahun 2013, Ayesha mencipta sejarah apabila menjadi juruterbang jet pejuang wanita pertama Pakistan dan kini menerbangkan Chengdu J-7 bersama 24 rakan pasukannya di bawah Skuadron ke-20.
Beliau merupakan satu-satunya juruterbang wanita daripada enam orang dalam PAF yang terlibat dalam operasi tempur bagi mempertahankan ruang udara di sepanjang sempadan yang menjadi pertikaian dengan India.
Ayesha turut mencatat sejarah sebagai salah seorang daripada 19 wanita yang bergelar juruterbang dalam PAF sejak tahun 2000.
Beliau bukan sekadar juruterbang, tetapi juga satu legasi kerana kisahnya membuktikan bahawa dengan keazaman, disiplin dan semangat patriotik, wanita juga mampu ‘menawan langit’. - Agensi