SHAH ALAM - Wujud salah tanggapan terhadap status Wang Tidak Dituntut (WTD) bahawa wang itu hanya ada kaitan dengan harta pusaka si mati yang tidak atau belum dituntut waris hingga menyebabkan ia tidak dituntut sesetengah rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, Peguam, Mohd Ridwan Talib menjelaskan, WTD mempunyai maksud lebih luas merangkumi gaji, bonus, komisen tidak dituntut daripada bekas majikan sehinggalah dividen tidak dituntut pemegang saham.
Beliau berkata, WTD juga meliputi pampasan insurans diluluskan tetapi tidak dituntut pemegang polisi insurans dan banyak lagi kategori lain dengan semua itu telah dinyata dengan jelas di bawah Akta Wang Tidak Dituntut 1965.
"Ada kemungkinan mereka tidak tahu cara atau bagaimana membuat tuntutan WTD. Sebenarnya, setelah orang ramai faham apakah itu WTD, mereka juga akan dimaklumkan dengan informasi lain seperti siapakah layak menuntut WTD.
"Semua maklumat juga boleh didapati dalam talian ataupun boleh bertanya terus dengan Jabatan Akauntan Negara (JANM) atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) negeri masing-masing,” katanya.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan JANM merekodkan RM13.3 bilion WTD setakat bulan lepas walaupun pelbagai kempen dan promosi telah dilakukan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai.
Akauntan Negara Nor Yati Ahmad berkata, hanya kira-kira RM4 bilion telah dituntut pemilik atau waris sejak sistem WTD diwujudkan pada 1977.
Mohd Ridwan turut memaklumkan, proses undang-undang bagi menuntut WTD tidak rumit, sebaliknya mudah dan murah.
"Sebelum failkan tuntutan, individu atau syarikat perlu memastikan mereka merupakan pihak layak menuntut WTD.
"Kemudiannya, mereka perlu melalui proses semakan terlebih dahulu dengan JANM. Semakan boleh dibuat dalam talian secara percuma,” ujar beliau.
Menurutnya, proses tuntutan WTD boleh dibuat sama ada dalam talian atau secara fizikal di kaunter-kaunter JANM di setiap negeri setelah mereka disahkan JANM sama ada berkelayakan ataupun tidak.
"Pemohon layak juga perlu menyertakan beberapa dokumen sahih untuk menyokong tuntutan mereka, sekali gus mengelakkan penipuan atau tuntutan palsu,” katanya.
Ujarnya, undang-undang tidak meletakkan had masa untuk pihak buat semakan dan tuntutan WTD dan ia bermakna pihak berminat mempunyai masa dan peluang banyak untuk fahami konsep WTD itu.
"Saya fikir, JANM memudahkan pihak yang berkelayakan untuk tuntut WTD ini. Hebahan melalui media massa dan media sosial juga telah banyak membantu menyedarkan masyarakat tentang isu WTD,” katanya.
Sementara itu, Pakar Undang-Undang, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, antara faktor rakyat Malaysia berkemungkinan tidak membuat tuntutan WTD disebabkan tidak mempunyai kesedaran tentang peluang untuk menuntutnya.
"Selain itu, mungkin juga sebahagian daripada wang tidak dituntut adalah wang dimiliki individu telah pun meninggal dunia dan sepatutnya diagihkan berdasarkan kepada agihan pusaka atau wasiat.
"Namun, memandangkan wang itu tidak dituntut sesiapa atau mana-mana waris, maka ia terus berada di WTD,” katanya.
Oleh itu, Muhammad Fathi berkata, kempen kesedaran dibuat sepatutnya melibatkan kalangan individu yang menjadi pemilik wang, bahkan mungkin waris seperti anak-anak.
"Dengan ini anak-anak mungkin boleh buat semakan untuk mengetahui sama ada wujud wang yang tidak dituntut milik ibu bapa atau waris,” katanya.
Beliau juga percaya proses yang digunakan untuk menuntut wang tersebut ketika ini merupakan satu proses yang mudah dan tidak terlalu sulit.
Muhammad Fathi mencadangkan supaya prosedur disediakan wajar dilonggarkan demi membolehkan waris membuat carian maklumat berkaitan WTD dimiliki ahli keluarga telah meninggal dunia.
Kesedaran terhadap Wang Tidak Dituntut masih rendah
Wang Tidak Dituntut (WTD) sehingga mencecah RM13.3 bilion setakat bulan lalu mungkin disebabkan tahap kesedaran orang awam berhubung isu tersebut masih rendah dan kurang memuaskan.
Pesara guru, Norlaili Mahmud, 62, berkata, dia sekeluarga mengakui tiada sebarang masalah tentang isu wang yang tidak dituntut kerana masing-masing cakna dengan pengurusan kewangan.
Menurutnya, golongan yang masih belum menuntut WTD berkemungkinan tidak tahu-menahu atau kurang kesedaran tentang kaedah membuat tuntutan.
Sementara itu, jurutera, Azri Halim, 36, berpandangan, proses membuat tuntutan, kos dan kekangan dari segi masa antara persepsi yang sering bermain di minda orang ramai ekoran kurang kesedaran.
"Sesetengah orang juga tak ada masa nak membuat tuntutan kerana mereka fikir proses menuntut WTD mengambil masa lama,” ujarnya lagi.
Ejen insurans, Mohd Nazron Nordin, 49, berkata, keluarga mungkin kurang mahir tentang kaedah membuat semakan dan tuntutan.
"Jadi, boleh dikatakan tahap kesedaran terlalu rendah, bayangkan sejak inisiatif WTD dilaksanakan sejak 70-an, hanya RM4 bilion yang dituntut pemilik atau waris,” katanya.