SHAH ALAM – Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud Besut, Terengganu (TMESA) telah membantu seramai 1,087 pelajar kurang berkemampuan (B40) di tiga kawasan di Terengganu melalui program Sponsor A Student (SAS) sejak 20 tahun lalu.
Presiden TMESA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, sehingga kini sebanyak RM1.5 juta telah dibelanjakan untuk membantu membiayai pendidikan pelajar B40 di daerah Besut, Setiu dan Kuala Berang.
Beliau yang juga Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf berkata, pihaknya menyasarkan kutipan sumbangan sebanyak RM140,000 bersempena SAS17 bagi terus membantu pelajar terlibat, dan sambutan diterima sangat menggalakkan.
"Alhamdulillah, ada alumni yang ditemui meluahkan hasrat menaja seramai 10 pelajar. Saya tanya mengapa ingin menaja ramai, dan beliau maklumkan bahawa anak-anaknya yang memiliki kerjaya dalam pelbagai bidang seperti peguam dan sebagainya, sedia menaja pelajar berkenaan.
"Seorang anak taja dua pelajar, seorang lagi anak taja dua lagi, dan kesedaran yang ditunjukkan itu amat baik. Kita sentiasa berfikir untuk mencari dana, mungkin selepas ini bukan hanya di Besut tetapi di seluruh Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas Majlis Kita Cakna dan Pelancaran SAS17 TMESA 2025/2026 di Dewan Kumpulan Media Karangkraf, di sini, pada Ahad.
Jelasnya, pada peringkat awal, inisiatif tersebut hanya tertumpu kepada alumni sekolah, namun kini ia dikembangkan kepada sekolah lain selepas melihat keperluan yang lebih luas.
Menurut Muhammad Nasir, TMESA berhasrat untuk memperluaskan lagi skop bantuan SAS ke seluruh negara demi memastikan pelajar yang terlibat mendapat pendidikan sewajarnya.
Kongsi beliau lagi, pihaknya turun padang ke sekolah-sekolah menengah di sekitar daerah tertentu dalam usaha mengenal pasti pelajar yang layak menerima bantuan SAS.
Muhammad Nasir memaklumkan, pelajar yang terpilih akan menerima sumbangan sebanyak RM2,000 setahun, berbanding hanya RM1,500 setahun sebelum ini, bagi membantu meringankan beban mereka.
Beliau turut berkongsi kisah menyayat hati yang memberi kesan mendalam kepada TMESA sehingga mendorong kepada pelaksanaan SAS pada tahun 2005 dan usaha berterusan sehingga kini bagi membantu pelajar B40.
Menurutnya, terdapat pelajar yang ditemui hanya berpeluang makan nasi sekali dalam tempoh tiga hari disebabkan kemiskinan yang dilalui, malah ada yang gagal meneruskan pengajian akibat kesempitan hidup.
Justeru, Muhammad Nasir memberitahu, pihaknya akan memastikan usaha membantu pelajar tidak terhenti, sekali gus memastikan hasrat membina masa depan cerah untuk pelajar memerlukan dapat direalisasikan.
Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk melaksanakan lebih banyak aktiviti kebajikan pada masa akan datang.