HADERA – Ratusan jerung bersirip hitam 'menyerang' pantai di tengah Israel, mencetuskan panik dan kebimbangan dalam kalangan pengunjung apabila kehadiran spesies pemangsa itu semakin kerap dikesan di pantai bandar pesisir Hadera sejak kebelakangan ini.
Fenomena luar biasa ini telah mencetuskan situasi tegang antara pemangsa laut tersebut dan manusia, termasuk pengunjung yang ingin mencuba nasib berenang bersama jerung walaupun berisiko tinggi.
Insiden tragik berlaku bulan lalu apabila seorang lelaki maut diserang jerung selepas berenang terlalu hampir dengan kawanan haiwan tersebut.
Menurut pasukan penyelamat hanya rangka tulangnya sahaja yang ditemui selepas kejadian disaksikan orang ramai dalam suasana panik dan jeritan dari pesisir pantai.
Kejadian mengejutkan ini mengundang pelbagai persoalan daripada pihak berkuasa, pakar alam sekitar serta penyelidik jerung mengenai bagaimana insiden seumpama ini boleh berlaku di perairan Israel dan langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengelakkan tragedi berulang.
"Jerung biasanya tidak menyerang melainkan mereka merasa terancam atau habitatnya diganggu,” kata penyelam berpengalaman, Irene Nurit Cohn yang juga anggota unit skuba agensi penyelamat Zaka.
Penyelidik jerung, Leigh Livine yang telah memantau kawasan berkenaan sejak empat tahun lalu berkata, konflik antara manusia dan jerung semakin ketara khususnya antara November hingga Mei apabila jerung jenis dusky dan sandbar banyak muncul.
Katanya, perubahan iklim menyumbang kepada peningkatan suhu air, sekaligus meningkatkan kehadiran jerung dan aktiviti manusia di laut. - Agensi