MELAKA – Pengakuan tiga beradik yang tidak membawa wang belanja ke sekolah menyentuh hati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem selepas mengetahui kepayahan hidup yang mereka hadapi.
Mohd Noor Helmy berkata, menerusi sesi soal jawab bersama tiga beradik berusia 10, 13 dan 17 tahun itu, mereka turut mengakui telah empat minggu tidak bersekolah selain yuran persekolahan yang masih tertunggak.
Menurutnya, masalah yang dihadapi keluarga terbabit dipercayai bermula selepas bapa mereka pulang ke negara asal di Pakistan dan ketiga-tiga beradik itu berjaya dibawa pulang ke tanah air dengan bantuan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).
Jelasnya, walaupun pelbagai kesulitan dialami, beliau akan memastikan ketiga-tiga mereka, dua bersekolah menengah dan seorang di sekolah rendah tidak tercicir dalam pelajaran selagi memegang amanah sebagai wakil rakyat.
"Lebih menyedihkan, tiga beradik ini tidak membawa wang belanja ke sekolah. Ada antara mereka yang terpaksa menahan lapar semasa waktu rehat dan hanya berkongsi makanan dengan rakan.
"Kita akan bertemu dengan pihak sekolah untuk berbincang mengenai yuran serta keperluan buku teks kerana mereka masih belum memiliki buku sekolah,” katanya.
Tambahnya, ibu kepada pelajar terbabit juga berhasrat memulakan perniagaan capati bagi meneruskan kelangsungan hidup, selain dimaklumkan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberikan bantuan bulanan bermula Jun depan.
Ujarnya, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) turut akan membantu menyediakan bayaran deposit sewa rumah manakala bantuan makanan akan disalurkan bermula bulan hadapan.
Malah, katanya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru telah bersetuju membantu sepenuhnya dua daripada mereka yang bersekolah di sekolah berkenaan.
"Sekolah Kebangsaan Datuk Palembang pula akan bantu setakat yang mampu dalam bidang kuasa mereka kerana anak yang berusia tahun empat itu tidak dilahirkan di Malaysia.
"Ramai yang menghantar mesej WhatsApp untuk menyumbang pelbagai bantuan. Saya tidak terima sumbangan tunai, sebaliknya kalau boleh datang terus dan beri sendiri kepada mereka di rumah transit di belakang Japerun Duyong,” katanya lagi.