Beri alasan sibuk, biar kucing dalam sangkar dipenuhi najis

Iklan
Tangkap layar video pengabaian kucing yang dikongsi sebuah NGO.

SEREMBAN –Bukan saja membiarkan beberapa ekor kucing dikurung dalam sangkar yang dipenuhi dengan najis, malah pemiliknya di Seremban 2 di sini turut didakwa membiarkan haiwan tersebut tanpa makanan dan minuman yang bersih.

Perkara itu didedahkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), stray free.foundation menerusi beberapa video yang dikongsi di akaun Thread mereka pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Berdasarkan video yang dikongsi, kawasan luar rumah yang menempatkan sangkar kucing terbabit turut dilihat dalam keadaan kotor dan tidak terurus apabila dipenuhi sampah.

Menerusi video tersebut, NGO berkenaan mempersoalkan tindakan pemilik membiarkan haiwan itu dalam keadaan begitu.

Iklan

Seorang wanita tanpa wajahnya didedahkan memaklumkan, bahawa kesemua kucing terbabit berada di bawah jagaan suaminya yang ketika itu tiada di rumah kerana keluar minum.

Apabila ditanya lanjut kenapa sangkar dan kawasan tersebut tidak dibersihkan, wanita itu memberi alasan dia tidak mempunyai masa kerana sibuk bekerja.

Iklan

Perkongsian NGO itu menimbulkan pelbagai reaksi warganet yang meninggalkan komen mengecam tindakan pemilik yang disifatkan tidak perikemanusiaan selain bersimpati dengan nasib kucing-kucing berkenaan.

Bagaimanapun, pihak NGO memaklumkan kesemua kucing tersebut telah pun diselamatkan dan kini berada di bawah jagaan mereka.

Pihaknya juga telah pun membuat laporan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan(JPVNS) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu Pengarah JVPNS, Dr Nurul Ain Ahmad mengesahkan menerima aduan berhubung perkara itu dan kini sedang menjalankan siasatan, sebelum laporan penuh dikeluarkan Isnin depan.