RUU Pekerja Gig penentu keberanian politik atau pengkhianatan - GEM

Iklan
RUU Pekerja Gig 2025 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan menjadi penentu antara keberanian politik atau pengkhianatan terhadap ratusan ribu pekerja gig di negara ini. Gambar kecil: JOSE RIZAL

SHAH ALAM - Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan menjadi penentu antara keberanian politik atau pengkhianatan terhadap ratusan ribu pekerja gig di negara ini.

Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Jose Rizal menegaskan pekerja gig bukan alat pakai buang, tetapi golongan yang mempunyai tanggungjawab dan hak untuk hidup dengan bermaruah.

Iklan
Iklan

"Kepada semua Ahli Dewan Rakyat, saya menyeru agar kita bersatu dan memastikan RUU ini diluluskan dengan sebulat suara.

"Ini bukan soal politik kepartian tetapi maruah, keadilan dan masa depan ratusan ribu rakyat yang bekerja dalam ekonomi gig.

Iklan

"RUU ini mesti menjadi perisai undang-undang terhadap manipulasi upah dan penindasan sistemik," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dilaporkan memaklumkan kerajaan bersetuju membentangkan RUU berkenaan bagi meningkatkan perlindungan serta menyelesaikan isu kebajikan membabitkan golongan berkenaan pada sesi Parlimen akan datang.

Iklan

Menurutnya, draf RUU yang sudah siap sedia untuk dibentangkan itu dibuat selepas sesi libat urus diadakan dengan lebih 3,000 pekerja.

Dalam pada itu, Jose mengingatkan semua syarikat pengendali platform e-hailing dan p-hailing agar tidak terus mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat.

Malah, beliau menegaskan mereka tidak boleh berselindung di sebalik alasan tidak masuk akal dan istilah mengelirukan semata-mata untuk mengaut keuntungan.

"Kepada kerajaan, hentikan kealpaan dan jangan terperangkap dengan retorik 'ekonomi digital' yang indah di bibir tetapi melalaikan daripada tanggungjawab sebenar.

"Saya mendesak agar semua operasi syarikat platform dipantau dengan telus dan berprinsip terutama dalam menetapkan kadar caj kepada pengguna serta kadar upah kepada pekerja platform.

"Penetapan kadar upah yang tidak seimbang, berubah-ubah dan tidak telus adalah satu bentuk eksploitasi moden yang tidak boleh dibiar berterusan," tegasnya.