MAGETAN - Gara-gara takut dimarahi isteri, seorang lelaki bertindak mereka cerita yang kononnya dia dirompak dan membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Mulyanto, 51, warga Desa Joketro, Kecamatan Parang, Kabupaten Magetan di Indonesia rupa-rupanya telah menghabiskan wang yang dipinjam dari rakannya berjumlah 15 juta rupiah (RM3,908) untuk berfoya-foya di sebuah pusat karaoke.
Iklan
Iklan
Dia mendapat idea untuk membuat aduan palsu kepada Polres Magetan setelah panik kerana menyalahgunakan wang yang tujuan sebenarnya adalah untuk kenduri doa selamat di rumahnya.
Jurucakap polis, AKP Joko Santoso berkata, siasatan mereka bagaimanapun berjaya membongkar pembohongan Mulyanto.
"Kami tidak menemui sebarang kerosakan pada motosikal pelaku yang mendakwa dia diserang. Dia juga sengaja mengoyakkan jaketnya sendiri untuk membuktikan dia menjadi mangsa rompakan," ujarnya.
Akibat tindakannya, Mulyanto telah dinamakan sebagai suspek kes laporan palsu di bawah Fasal 220 KUHP dan boleh dihukum penjara selama 16 bulan jika disabit bersalah. - Agensi
Artikel Berkaitan