Pahang peruntuk RM1 juta bantu warga emas jalani pembedahan katarak 2025

Iklan
Wan Rosdy (tengah) ketika menyerahkan inisiatif tersebut kepada penerima di hospital terbabit pada Sabtu.

LIPIS – Nasib warga emas di negeri ini terus mendapat perhatian kerajaan negeri Pahang menerusi Program Subsidi Pembedahan Katarak Mata di bawah Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) yang memperuntukkan sebanyak RM1 juta menerusi Belanjawan 2025.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri meneruskan pelaksanaan inisiatif ini yang dimulakan tahun lalu dengan menyasarkan seramai 655 penerima pada tahun 2025.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada tahun lepas, subsidi itu melibatkan peruntukan RM1.5 juta kepada 854 warga emas.

"Peruntukan ini merangkumi harga pakej pembedahan serta belanja mengurus bagi proses pembedahan yang dilaksanakan di fasiliti hospital kerajaan di negeri Pahang.

Iklan

"Pembedahan katarak dan klinik pra-pembedahan telah dilakukan di empat hospital iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh; Hospital Kuala Lipis dan Hospital Rompin, melibatkan lebih 100 kakitangan kesihatan yang bertugas bagi menjayakan program ini," katanya.

Wan Rosdy (kiri) tidak melepaskan peluang menjalani pemeriksaan mata.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Subsidi Pembedahan Katarak Mata Warga Emas Negeri Pahang di bawah IM Pahang 2025 di Hospital Kuala Lipis, di sini pada Sabtu.

Iklan

Turut hadir, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia serta Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir Razali Kassim.

Wan Rosdy berkata, penerima program tersebut melahirkan rasa syukur terhadap inisiatif berkenaan yang banyak membantu mereka menikmati kehidupan yang lebih baik.

"Alhamdulillah, sambutannya amat baik. Saya sempat bertemu mereka yang telah dan akan menjalani pembedahan, rata-rata melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan negeri.

"Insya-ALLAH kerajaan negeri akan meneruskan usaha ini dengan peruntukan tambahan pada tahun-tahun akan datang. Ini adalah antara usaha kami untuk membantu rakyat Pahang selain daripada pelbagai bentuk bantuan lain,” ujarnya.

Menurut beliau, kerjasama semua pihak berjaya memberikan manfaat nyata kepada rakyat termasuk dari segi penjimatan masa menunggu yang kini berkurang daripada lapan bulan kepada sekitar empat bulan.

"Saya percaya tempoh empat bulan ini boleh dipendekkan lagi sekiranya kita menambah kemudahan seperti optometris dan doktor pakar di hospital-hospital terlibat.

"Jika isu ini dapat diatasi, masa menunggu untuk pembedahan katarak dapat dikurangkan lagi. Insya-ALLAH kita akan perluaskan program ini berdasarkan keperluan dan kesesuaian kemudahan di hospital lain," katanya.