SHAH ALAM – Selangor tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial oleh mana-mana kakitangan kerajaan negeri khususnya jika melibatkan isu sensitiviti agama yang boleh menjejaskan keharmonian awam.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku kecuaian atau perbuatan tidak bertanggungjawab yang mencetuskan keresahan masyarakat.
Menurutnya, pendirian itu susulan satu hantaran dimuat naik oleh seorang pemilik akaun di platform Threads pada Khamis yang disifatkan tidak wajar dan mengguris sensitiviti.
"Pentadbiran ini memandang serius serta menzahirkan rasa kesal terhadap hantaran berkenaan.
"Kenyataan tersebut amatlah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, pemilik akaun terbabit sudah menzahirkan kekesalan dan memohon maaf secara terbuka selain meletakkan jawatan atas kecuaian itu.
Dalam pada itu, Mohammad Fahmi turut mengingatkan semua pihak supaya sentiasa menjaga adab dan tutur kata lebih-lebih lagi menjelang dan sepanjang bulan Ramadan.
"Marilah kita bersama-sama bermuhasabah diri serta memperkukuh adab dan akhlak dalam setiap tindakan," tambah beliau.
Terdahulu, hantaran dimuat naik individu berkenaan mempersoalkan bagaimana tindakan memijak mana-mana kitab suci boleh dianggap sebagai satu perbuatan menghina dengan mendakwa ia tidak menyebabkan kecederaan fizikal atau penderitaan mental selain meminta penjelasan kerana kononnya ingin tahu.
Hantaran itu kemudian tular dan mencetuskan pelbagai reaksi dab kecaman dalam kalangan pengguna media sosial.