Didenda RM100 guna gambar sebelum dan selepas solek tanpa izin di TikTok

Iklan
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tindakan seorang wanita mengaibkan wanita lain dengan meletakkan gambar mangsa dalam keadaan sebelum dan selepas bersolek, semasa siaran langsung di aplikasi TikTok, mengundang padah apabila dia didenda maksimum RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Nurul Hidayah Yusuf, 23, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara dua hari sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengaibkan seorang wanita berusia 23 tahun, dengan meletak gambar mangsa sebagai imej latar belakang siaran langsung di TikTok dan membuat perbandingan wajah sebelum dan selepas bersolek tanpa kebenarannya, di sebuah kondominium di Sentul, pada 10.51 pagi, 5 April.

Iklan

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mangsa telah menerima kiriman WhatsApp daripada rakannya iaitu rakaman skrin, memaparkan siaran langsung di TikTok yang dibuat tertuduh.

Iklan

Mangsa membuat laporan polis kerana berasa aib dengan tindakan tertuduh.

Hasil siasatan mendapati tertuduh mengaku mengaibkan mangsa kerana dendam.

Semasa prosiding, Nurul Hidayah yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman ringan kerana telah dibuang kerja.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.