SHAH ALAM - Umat Islam diingatkan agar tidak terus hanyut dalam kealpaan dunia moden sehingga melupakan penderitaan rakyat Palestin yang masih bergelut dengan penjajahan dan penindasan rejim Zionis.
Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia, Muhd Haikal Luqman Zulkefli berkata, penderitaan itu belum berakhir meskipun sudah berlangsung lebih tujuh dekad berlalu sejak tercetusnya peristiwa Nakbah pada 15 Mei 1948.
"Justeru, ungkapan Nakbah belum berakhir bukan sekadar retorik. Ia realiti pahit yang menguji kesedaran, keimanan dan maruah umat Islam.
"Hari ini, masyarakat Islam secara umumnya ghairah membicarakan pembinaan negara maju, ekonomi digital, pembangunan bandar dan gaya hidup moden," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, mereka terlupa bahawa maruah umat tidak bergantung kepada teknologi atau ekonomi semata-mata, sebaliknya terarah kepada pegangan prinsip, komitmen terhadap keadilan dan kesatuan hati.
Menurutnya, Palestin adalah cerminan nilai tersebut, namun malangnya penderitaan rakyat Palestin tidak lagi dianggap sebagai satu tanggungjawab bersama oleh sebahagian umat Islam.
"Ketika masyarakat Islam tidak melihat penderitaan rakyat Palestin sebagai tanggungjawab bersama, mereka sebenarnya sedang menggadai prinsip persaudaraan Islam dan meninggalkan warisan perjuangan Rasulullah SAW," jelasnya.
Lebih mengecewakan, Muhd Haikal Luqman menjelaskan isu Palestin sepatutnya menjadi pengukur tahap iman dan kecaknaan umat.
Bagaimanapun, beliau melihat ramai umat Islam sebaliknya lebih mengutamakan ketaksuban terhadap media sosial berbanding kehormatan Masjid al-Aqsa.
"Ramai yang lebih sibuk mempersoalkan perbezaan mazhab, tetapi diam membisu ketika bumi para anbiya dibedil dengan peluru dan bom," tegas beliau.
Tambahnya lagi, sejarah membuktikan bahawa pembebasan Baitulmaqdis oleh Salahuddin al-Ayyubi bermula bukan di medan perang, tetapi dengan kebangkitan rohani dan intelektual berteraskan ilmu, kesatuan dan pengorbanan.
Justeru, beliau menambah jika umat Islam mahu melihat masa depan Palestin yang bebas dan bermaruah, kebangkitan itu harus bermula semula dengan pendidikan, kesedaran dan penyatuan.
Muhd Haikal turut menekankan bahawa kebangkitan untuk membebaskan Palestin tidak boleh hanya bergantung kepada slogan, sebaliknya memerlukan tindakan konkrit di peringkat individu dan masyarakat.
"Ia termasuklah mendidik generasi muda tentang sejarah Palestin sebagai sebahagian daripada sejarah Islam bukan hanya sebagai konflik politik, malah menyokong gerakan kemanusiaan dan diplomasi yang mempertahankan hak rakyat Palestin," menurutnya lagi.
Beliau turut mengingatkan, nakbah bukan sekadar sejarah duka, sebaliknya perkara itu adalah isyarat ALLAH SWT untuk umat Islam bermuhasabah, membetulkan haluan dan bangkit sebagai umat bermaruah.