ISKANDAR PUTERI - Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian Johor yang kini muncul sebagai kuasa besar baharu dalam ekonomi negara.
Baginda bertitah, kejayaan itu hasil pelaksanaan beberapa inisiatif utama, termasuk Zon Ekonomi Khas Johor (JS-SEZ), yang berjaya menarik pelaburan berjumlah RM27 bilion bagi suku pertama tahun ini.
"Saya ingin menzahirkan rasa gembira melihat pencapaian ini dan rasa bangga apabila Johor kini dikatakan sebagai sebuah negeri yang muncul sebagai kuasa besar baharu dalam ekonomi Malaysia.
"Saya percaya dengan tren pertumbuhan ekonomi negeri Johor ketika ini, rakyat akan dapat menikmati kehidupan yang lebih baik pada masa depan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Pembukaan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, pada Jumaat.
Tunku Mahkota Ismail turut bertitah, hasil negeri Johor bagi tahun lalu mencatatkan nilai positif berjumlah RM2.1 bilion.
Titah baginda, momentum itu diteruskan pada suku pertama tahun ini apabila hasil negeri mencatatkan RM598 juta iaitu 29.84 peratus lebih tinggi berbanding anggaran ditetapkan kerajaan negeri.
"Pada April 2025 pula, menerusi sokongan dan kerjasama padu antara kerajaan negeri dan semua pihak, terdapat projek-projek baharu bernilai RM23 bilion yang sedang dalam perancangan,” titahnya.