KRT perkenal logo baharu, perkukuh perpaduan nasional

Iklan
Aaron Ago Dagang (tengah) melancarkan logo baharu Kawasan Rukun Tetangga di Segamat, Johor pada Khamis.

SHAH ALAM – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kini memperkenalkan logo baharu sebagai usaha memperkukuh identiti serta peranan dalam menyemai perpaduan nasional di peringkat akar umbi.

Logo yang digunakan sejak tahun 2005 itu digantikan dengan rekaan baharu yang lebih segar, moden dan penuh simbolik, selaras dengan tema"Memperkasa Komuniti, Memperkukuh Perpaduan”.

Iklan
Iklan

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, penjenamaan semula ini bukan sekadar perubahan visual, tetapi mencerminkan komitmen kementeriannya untuk memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Logo baharu KRT.

Menurut beliau, logo baharu tersebut bakal memberi nafas segar kepada gerakan perpaduan negara, terutamanya dalam memperkasakan peranan komuniti sebagai ejen penyatuan serta keharmonian masyarakat.

Iklan

"Logo baharu ini dibina berasaskan bentuk segi lima sekata yang melambangkan lima prinsip Rukun Negara sebagai tonggak perpaduan nasional.

"Bentuk ini menggambarkan kestabilan dan asas yang kukuh dalam membentuk sebuah negara yang harmoni dan dinamik.

Iklan

"Di tengah logo tersebut, terpapar lima figura manusia berganding bahu yang melambangkan kepelbagaian kaum di Malaysia yang hidup dalam suasana muafakat,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Majlis pelancaran logo baharu itu telah disempurnakan oleh Aaron sempena Sambutan Jubli Emas KRT yang berlangsung di Segamat, Johor pada Khamis.

KRT mula ditubuhkan pada tahun 1975 sebagai langkah strategik pasca insiden 13 Mei 1969 untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia. Penubuhan ini bertujuan memupuk semangat kejiranan dan menangani isu setempat melalui pendekatan komuniti.

Tambah Aaron, penubuhan KRT telah berjaya menyemarakkan perpaduan melalui pelbagai program sosial dan kebudayaan yang dilaksanakan di peringkat komuniti.

"Selain itu, pelaksanaan Skim Rondaan Sukarela (SRS) turut menyumbang kepada pengurangan kadar jenayah setempat serta menggalakkan budaya kesukarelawanan dalam masyarakat.

"Antara inisiatif lain yang digerakkan termasuk kelas tuisyen percuma, program pembangunan remaja dan belia, bantuan kepada golongan memerlukan serta aktiviti kebajikan wanita,” ujarnya.