Sekarang bukan masa pilihan raya - TMJ

Iklan
Tunku Mahkota Ismail merasmikan pembukaan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Jumaat.

ISKANDAR PUTERI – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan bahawa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor perlu menumpukan sepenuhnya kepada tanggungjawab mereka dalam memberi khidmat kepada rakyat, dan bukan berpolitik seperti ketika musim pilihan raya.

Baginda bertitah, kesemua 56 ADUN yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 seharusnya menjalankan amanah dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri.

Iklan
Iklan

"Saya ingin mengingatkan semua ADUN bahawa sekarang bukan musim PRN. Setiap daripada anda telah dipilih untuk berkhidmat untuk rakyat.

"Jadi, sila fokus kepada tanggungjawab tersebut. Bangsa Johor perlukan ADUN yang bertanggungjawab dan berkesan untuk membantu negeri ini terus membangun serta meningkatkan taraf hidup rakyat,” titah baginda.

Iklan

Tunku Mahkota Ismail bertitah demikian ketika merasmikan Pembukaan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Jumaat.

Sebelum ini, beberapa pimpinan parti politik negeri mengeluarkan kenyataan menjangkakan PRN Johor mungkin diadakan seawal tahun depan, sehingga mencetuskan polemik dalam kalangan parti politik berkaitan isu kerjasama sama ada untuk bertanding secara solo atau bersama Kerajaan Perpaduan.

Iklan

Bagaimanapun, tempoh penggal pentadbiran negeri Johor hanya akan berakhir pada Mac 2027 dan tarikh PRN akan ditentukan mengikut peruntukan perlembagaan, bukan berdasarkan jangkaan mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Ismail turut menzahirkan harapan agar DUN Johor kekal sebagai medan perbincangan dasar yang matang dan bukan pentas untuk konflik atau persengketaan politik.

"Saya ingin tegaskan bahawa DUN Johor ini adalah dewan yang mulia. Ia bukan medan untuk bertelagah, bukan tempat untuk melepaskan emosi atau kepentingan politik peribadi.

"Sebaliknya, dewan ini adalah wadah untuk membincangkan dasar, menggubal undang-undang dan yang paling utama, memperjuangkan nasib serta kebajikan rakyat Johor,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan semua wakil rakyat supaya menjaga adab dan menghormati institusi DUN Johor.

"Jaga tingkah laku anda dan berkhidmatlah dengan jayanya supaya Johor kekal maju serta disanjung dan dihormati.

"Saya juga ingin mengucapkan tahniah terhadap perjalanan DUN Johor yang berlangsung sebelum ini dengan tertib, teratur dan penuh hormat – sesuatu yang mencerminkan kematangan demokrasi serta budaya politik yang beradab,” titah baginda lagi.

Pada PRN Johor 2022, Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga dengan menawan 40 daripada 56 kerusi DUN Johor.

Pakatan Harapan (PH) memenangi 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi, manakala PKR dan Muda masing-masing memperoleh satu kerusi.