KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ahli Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) menuntut entiti itu melunaskan bayaran jualan saham kepada ahli yang tertunggak sejak 20 bulan lalu.
Jurucakap Jawatankuasa Bertindak Ahli-Ahli KPF, Rusnizam Mahat berkata, sebahagian besar ahli juga masih belum menerima bayaran dividen walaupun permohonan penebusan syer telah dibuat sejak beberapa bulan lalu.
"Jumlah pelaburan warga Felda dalam koperasi bukan kecil, malah ada yang mencecah ratusan ribu ringgit bagi setiap individu.
"Ada ahli yang sakit belum mendapat bayaran penuh dan mereka yang bersiap untuk menunaikan haji juga masih tidak menerima bayaran walaupun dokumen lengkap telah diserahkan.
"Lebih menyedihkan terdapat ahli yang meninggal dunia tanpa sempat menerima wang jualan saham mereka," katanya ketika sidang akhbar selepas melakukan laporan di Balai Polis Tun Razak, pada Jumaat.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, pelbagai jaminan telah diberikan pihak pengurusan KPF dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah termasuk menyelesaikan isu tersebut dalam tempoh enam hingga sembilan bulan, namun hingga hari ini masih tiada sebarang perubahan.
Oleh yang demikian, Rusnizam menegaskan, situasi tersebut menimbulkan persoalan tentang tahap ketelusan, integriti dan kebertanggungjawaban pihak pengurusan koperasi.
"Semakin lama isu ini berlarutan, semakin ramai ahli hilang kepercayaan terhadap koperasi, lebih-lebih lagi dalam keadaan dividen yang rendah diberikan setiap tahun.
"KPF wajib mengembalikan semula keyakinan ahli melalui tindakan segera dan bukannya kenyataan tanpa pelaksanaan.
"Sekadar memohon bersabar bukan lagi jawapan yang boleh diterima setelah lebih setahun menunggu," katanya.