KUALA LUMPUR - Bayaran penebusan syer Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) dibuat berdasarkan konsep penggiliran dengan keutamaan diberikan kepada kes-kes kritikal antaranya seperti keperluan mendesak bagi menjalani ibadah haji atau umrah, perubatan, kes mahkamah, pendidikan dan lain-lain kes atas pertimbangan ahli Lembaga.
Pengerusi KPF, Datuk Mohd Banuri Aris berkata, sehingga April lalu, sejumlah RM319.4 juta melibatkan 18,783 permohonan telah dibayar dan diproses.
Menurutnya, pembayaran tersebut merupakan sebahagian daripada 29,159 permohonan yang diterima sejak tahun 2022, membabitkan syer berjumlah RM691.6 juta.
"Disebabkan oleh kekangan aliran tunai, proses pengeluaran syer telah mengambil masa lebih 12 bulan.
"Kami menguruskan pembayaran dengan teliti berdasarkan keutamaan bagi memastikan kebajikan anggota sentiasa menjadi fokus utama.
"Baki sebanyak RM372 juta melibatkan 10,376 permohonan akan dibuat secara berperingkat mengikut kecukupan aliran tunai," katanya ketika sidang media di sini pada Jumaat.
Beliau yang juga Timbalan Pengarah Besar Felda menegaskan, sepanjang 44 tahun penubuhannya, KPF tidak pernah mencatatkan kerugian, malah komited dalam memberikan pulangan yang konsisten kepada lebih 250,000 anggotanya.
Namun jelas beliau, beberapa isu semasa mencabar keupayaan KPF untuk beroperasi secara efisien sejak beberapa tahun kebelakangan.
Antaranya disebabkan penebusan syer anggota yang tinggi dan berterusan, dengan jumlahnya melebihi pembelian syer baharu.
Bagaimanapun beliau berkata, pencapaian KPF tahun ini menunjukkan perkembangan kukuh dan kembali ke landasan betul, selari dengan perkembangan perlaksanaan Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan untuk mengukuh aliran tunai dalam usaha memastikan isu berbangkit dapat diselesaikan.
"Perolehan tunai daripada pelan rasionalisasi tersebut dijangka akan diperoleh secara berperingkat dan akan digunakan untuk penyelesaian permohonan pengeluaran syer anggota dan dividen tahunan.
"Kita diberi peluang oleh pengurusan Felda untuk bertanggungjawab beli buah tandan segar, buah sawit. Sebelum ini tidak berlaku dan inilah kali pertama berlaku KPF satu-satunya badan yang dibenarkan membeli sebagai agen tunggal.
"Kalau ini berterusan dan jika semua peneroka bantu kita, semua kilang-kilang bersama kita, pulangan yang lebih baik akan diberi kepada pemegang saham mulai tahun hadapan," katanya.
Antara langkah utama dilaksanakan sebagai pendekatan holistik di bawah pelan nasionalisasi tersebut adalah penjualan aset perladangan tertentu yang dijangka selesai suku keempat 2025.
Selain itu, turut dilaksanakan pelupusan aset perladangan tertentu yang dijangka selesai dalam tempoh sama, dan penstrukturan semula pegangan dalam syarikat bersekutu.