SSPA: JPA cadang kekal bayaran bulanan seperti pencen - KPPA

Iklan
Wan Ahmad Dahlan

SHAH ALAM - Kerajaan dijangka mengekalkan kaedah pembayaran sedia ada iaitu secara bulanan menerusi pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu yang akan diperkenalkan bagi menggantikan skim pencen.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, melalui skim baharu kelak, penjawat awam yang menepati had umur persaraan ditetapkan dijangka akan dibayar secara bulanan seperti kaedah pencen sebelum ini, berbanding dibenarkan membuat pengeluaran secara sekali gus.

Iklan
Iklan

Wan Ahmad berkata, cadangan itu disifatkan lebih proaktif memandangkan banyak kes pesara kerajaan berdepan kerugian wang persaraan akibat menjadi mangsa 'scam', selain membolehkan simpanan hari tua diuruskan lebih efisien.

Ujarnya, cadangan berkenaan juga sudah dipersetujui Kementerian Kewangan (MOF) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terbabit dalam Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) dikelolakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Iklan

"Kita sedang draf supaya mana-mana penjawat awam bagi lantikan tetap bercarum nanti akan terima bayaran bulanan sebagaimana pesara sekarang. Itu sudah boleh kita lakukan kerana ada persetujuan MOF dan KWSP.

"Kita sudah maklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim)... Jika dapat selonggok (pengeluaran wang sekali gus sebagaimana sekarang) ada pesara yang jadi mangsa scam hingga baru dua hari keluarkan duit, semuanya habis.

Iklan

"Jadi kita draf supaya mereka terima (bayaran) secara bulanan... katalah setahun keperluan mereka RM25,000, jadi selebihnya simpanan itu akan dilaburkan semula dalam KWSP.

"Ini (lebih menguntungkan) kerana mereka akan terima pula dividen setiap akhir tahun," katanya ketika ditemui selepas Program Bicara Figura: Menelusuri Aspirasi Memaknai Reformasi di Auditorium Sultan Ahmad Shah, Ibu Pejabat RISDA di Kuala Lumpur pada Khamis.

Turut hadir, Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib dan Ketua Pengarahnya, Zainal Azni Zulkifli.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Dahlan berkata, hasil simulasi dijalankan menerusi JIKSPA turut mendapati sistem baharu itu memberikan 'pulangan' lebih baik kepada pencarum daripada aspek simpanan kewangan.

"Daripada simulasi dijalankan JPA bersama MOF dan KWSP, misalnya, mereka yang masuk dengan gred 1 pada umur 20 tahun dan kemudian pencen dalam gred 3 ketika berusia 60 tahun, simpanan mereka adalah RM1.36 juta.

"Jadi saya percaya (lantikan tetap bercarum) ini sangat menarik, pastinya ia takkan beri apa-apa keburukan kepada penjawat awam," katanya.

Sementara itu, ketika sesi Bicara Figura bersama warga RISDA, Wan Ahmad turut ditanya sama ada kerajaan bersedia membenarkan pengeluaran bayaran pencen lebih awal, sekurang-kurangnya pada usia 50 tahun bagi penjawat awam yang berhasrat pencen awal.

"Bagi yang (berhasrat) bersara awal, ini perlu dibawa dalam perbincangan. Saya mungkin akan bawa kepada pihak Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP kerana badan ini yang menguruskan hal pencen.

"Selain itu, perkara ini juga tertakluk dalam Akta Pencen di mana ia perlu diteliti dengan saksama supaya tidak bertentangan apa yang digariskan di bawah akta terbabit," katanya.

Sebelum ini media melaporkan Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen dengan pelaksanaan pengambilan pegawai baharu secara lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam akan berkuat kuasa mulai 1 Februari depan.

Pelaksanaan itu dibuat sehingga inisiatif kaedah lantikan baharu diperkenalkan. Inisiatif melalui SSPA selaras komitmen negara dalam menangani isu peningkatan tanggungan pencen.

Tamat