Energy Asia 2025 pemacu utama peralihan tenaga Asia

Iklan
Dari kiri; Arni Laily, Smarco Ho, Peter Murray dan M Rafie ketika sesi Lunch Escape: Road to Energy Asia 2025 di sini pada Khamis. Foto SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR

KUALA LUMPUR - Forum Energy Asia 2025 anjuran Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dijangka bakal menjadi pemangkin utama dalam mempercepatkan peralihan tenaga di Asia.

Naib Presiden Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Ir Norafizal Mat Saad berkata, forum itu bertujuan menyelaras hala tuju strategik tenaga serantau selain merangsang pelaburan serta kerjasama rentas industri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia akan mengetengahkan 50 sesi dialog merangkumi tujuh subtema utama termasuk penyelesaian kolaboratif untuk memacu keselamatan tenaga, menskalakan tenaga boleh diperbaharui dan menggunakan teknologi penyahkarbonan di seluruh rantau ini.

"Asia merupakan rantau paling berkembang pesat dan menyumbang kepada lebih separuh daripada populasi serta pelepasan gas rumah hijau dunia, maka kejayaan Asia mencapai matlamat sifar bersih penting untuk kejayaan global.

Iklan

"Forum ini dijangka menjadi antara acara industri tenaga terbesar pada tahun ini dan secara tidak langsung memperkukuh Malaysia sebagai peneraju dialog tenaga serantau.

"Petronas juga mengiktiraf peranan media dalam membantu menyampaikan naratif seimbang berkaitan usaha peralihan tenaga di Asia kepada masyarakat global,” katanya ketika ditemui selepas sesi Lunch Escape: Road to Energy Asia 2025 di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli dan tetamu kehormat lain.

Forum Energy Asia 2025 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Jun ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur merupakan anjuran Petronas dengan kerjasama CERAWeek, S&P Global.

Forum yang mengangkat tema Delivering Asia’s Energy Transition itu akan menghimpunkan lebih 180 penceramah antarabangsa dan lebih 4,000 delegasi global dari 50 negara dalam usaha merangka penyelesaian rentas sektor bagi masa depan tenaga yang lebih mampan dan bersih.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Kanan Petronas (Tenaga Asia & Strategi, Perancangan dan Tadbir Urus, Perhubungan Strategik Kumpulan dan Komunikasi), Datin Arni Laily Anwarrudin berkata, Energy Park yang diperkenalkan sebagai sebahagian daripada forum tersebut akan menjadi pusat demonstrasi teknologi rendah karbon, selain menampilkan penyelesaian inovatif masa depan.

"Energy Park yang menjadi antara tarikan utama turut diperbesarkan dua hingga tiga kali ganda berbanding tahun lalu bagi memberi ruang kepada lebih banyak pameran teknologi dan inovasi terkini dalam industri tenaga.

"Malah, antara tumpuan utama ialah penganjuran program Future Energy Leaders yang menyasarkan penyertaan anak muda dalam usaha meningkatkan kesedaran dan minat terhadap kerjaya serta peluang dalam sektor tenaga,” ujarnya.

Tambah Arni Laily, sesi meja bulat Ketua Pegawai Eksekutif turut dijangka lebih produktif apabila peserta dibahagikan kepada kumpulan kerja bagi menghasilkan komitmen bersama ke arah kerjasama yang lebih berkesan dalam sektor tenaga.

"Kita bukan sahaja mahu libatkan pembuat dasar dan pemain industri tetapi juga pelajar, juruteknik, usahawan serta pemain industri tenaga untuk bersama-sama mencari penyelesaian," katanya.