Geng Apan Sungai Petani tumpas, bekas kontraktor jadi dalang curi kabel

Iklan
Mohd Sofian (kanan) menunjukkan antara barangan yang dirampas dalam serbuan ke atas sebuah rumah inap di Marang pada 8 Mei lalu.

MARANG - Polis menumpaskan 'Geng Apan Sungai Petani' yang dipercayai aktif mencuri kabel telekomunikasi bawah tanah milik sebuah syarikat komunikasi.

Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd Sofian Redzuan berkata, kegiatan itu terbongkar susulan serbuan di sebuah inap desa di Kampung Baru Rhu Muda, di sini pada 8 Mei lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam serbuan sekitar jam itu, seramai 12 lelaki berusia antara 22 hingga 43 tahun yang menyamar sebagai pekerja syarikat kontraktor komunikasi berjaya ditahan.

"Kehadiran suspek sebelum itu dikesan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Marang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang kira-kira jam 5.30 pagi di Kampung Sungai Kerak.

Iklan

"Anggota yang menjalankan pemantauan ketika itu mengesan dua kereta jenis Perodua Alza dan Axia sedang melakukan aktiviti mencurigakan.

"Mereka dilihat memotong kabel-kabel dari manhole (penutup lurang) sebelum memuatkannya ke dalam kenderaan dan meninggalkan lokasi," katanya pada sidang akhbar di IPD Marang, di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, anggota berkenaan kemudian mengekori kedua-dua kenderaan itu hingga ke inap desa dan menyerbu premis tersebut sekitar jam 10 pagi.

"Seramai 12 lelaki ditahan bersama pelbagai peralatan mencuri kabel serta sejumlah 208 batang kabel dan lima gulung kabel bernilai kira-kira RM20,000.

"Antara barangan lain yang dirampas termasuk kuku kambing, tukul, alat pemotong kabel, baju pemantul cahaya, mesin pencanai dan alat pembuka manhole," katanya.

Mohd Sofian berkata, kumpulan terbabit dipercayai menggunakan kereta sewa untuk melakukan jenayah dan menyamar sebagai kakitangan kontraktor bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, kesemua suspek memiliki pelbagai rekod jenayah lampau dan dadah, di mana 10 daripada mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala dua lagi negatif.

"Kumpulan ini dipercayai aktif sejak 2014, diketuai seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga bekas pekerja kontraktor telekomunikasi.

"Hasil soal siasat, mereka mengaku terlibat dalam 14 kes curi kabel berskala besar iaitu lima di Kedah, empat di Pulau Pinang, tiga di Perlis dan masing-masing satu di Terengganu serta Kelantan," katanya.

Jelas beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.