Agong uji bot pemintas berteknologi tinggi

Iklan
Sultan Ibrahim berkenan memandu uji bot selam baharu yang direka hasil ilham Seri Paduka Baginda sendiri. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Mersing, Johor pada Rabu bagi memandu uji bot selam baharu yang direka hasil ilham Seri Paduka Baginda sendiri.

Menurut hantaran Facebook Sultan Ibrahim pada Rabu, reka bentuk serta spesifikasi bot selam itu hasil ilham dan kepakaran Seri Paduka Baginda yang berpengalaman luas dalam ilmu kelautan serta latihan ketenteraan.

Iklan
Iklan

"Pada Mac lalu, Seri Paduka Baginda mengurniakan sebuah bot pemintas berteknologi tinggi dinamakan Ibrahim Class IC 1170cc kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Bot berkenaan yang direka khas sebagai bot pemintas berkelajuan tinggi mampu beroperasi dalam perairan tropika,” menurut hantaran itu.

Sultan Ibrahim turut mengurniakan sebuah bot pemintas berteknologi tinggi kepada Maritim Malaysia Pahang pada Mac lepas.

Iklan

Menurut hantaran itu, pada November 2020, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan sebuah bot laju IMG berkelengkapan penuh kepada Pasukan Polis Marin (PPM) yang bertugas di Wilayah 2 dengan enjin berkapasiti 900 kuasa kuda bagi penugasan PPM di kepulauan serta perairan Mersing.

Seri Paduka Baginda juga berkenan mengurniakan bot Rigid Inflatable Boat (RIB) Tornado kepada 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) pada 2021.

Iklan

"Pengurniaan bot bernilai RM1.2 juta dengan enjin berkapasiti 600 kuasa kuda itu bertujuan untuk membantu 21 GGK dalam melaksanakan penugasan dan tanggungjawab mereka.

"Kurniaan Seri Paduka Baginda itu mencerminkan keprihatinan Sultan Ibrahim berhubung keselamatan perairan negara dan kesiapsiagaan pasukan berkuasa dalam mengekang ancaman di laut,” menurut hantaran itu. - Bernama