KUALA LUMPUR - Konflik berpanjangan antara India dan Pakistan berpunca daripada sejarah panjang ketegangan melibatkan komuniti Islam di wilayah Kashmir.
Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah berkata, latar belakang konflik itu perlu difahami secara menyeluruh dan bukan sekadar melihatnya sebagai pertikaian dua negara.
Menurutnya, ketegangan ketenteraan antara kedua-dua negara kini berada pada tahap membimbangkan susulan serangan maut ke atas pelancong di Kashmir yang ditadbir India pada 22 April lalu serta mengorbankan 26 nyawa.
"Namun, ketegangan ini berpunca daripada permusuhan yang telah berlarutan selama beberapa dekad,” katanya dalam temu bual tertutup bersama organisasi media terpilih di sebuah restoran di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Rabu.
Hadir sama, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.
Sebelum ini, gencatan senjata antara India dan Pakistan dilaporkan masih bertahan selepas beberapa hari pertempuran sengit yang mengorbankan hampir 70 nyawa.
Perjanjian gencatan senjata ini dicapai selepas tekanan diplomatik yang kuat dari Amerika Syarikat (AS), dengan Presiden Donald Trump menawarkan bantuan dalam menyelesaikan pertikaian lama antara kedua-dua negara berhubung wilayah Kashmir.
Susulan itu, India membuka semula 32 lapangan terbang pada Isnin berikutan perjanjian gencatan senjata hujung minggu lalu yang menamatkan pertempuran paling buruk dengan Pakistan sejak tahun 1999.
Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, isu Kashmir tidak boleh dilihat sebagai konflik dwinegara semata-mata.
Sebaliknya, katanya, ia membabitkan isu serantau yang lebih besar dan memerlukan pemahaman mendalam terhadap faktor sejarah serta hubungan diplomatik.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap potensi konflik bersenjata yang lebih besar, memandangkan kedua-dua negara terlibat adalah kuasa nuklear.
"Kita bimbang kemusnahan akan menjadi luar jangka sekiranya tercetusnya perang nuklear.
"Jika penindasan terhadap penduduk Kashmir terus berlaku, akan wujud kumpulan-kumpulan ekstrem yang bangkit mempertahankan hak mereka yang dinafikan,” tambah beliau.