BATU PAHAT - Seorang nelayan maut manakala isterinya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki bertembung dengan sebuah motosikal lain dalam kemalangan di Jalan Parit Karjo di sini malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, hasil siasatan awal terhadap kejadian yang berlaku sekitar jam 8.30 malam itu mendapati pasangan berkenaan dalam perjalanan dari arah Senggarang menuju ke Jalan Kluang.
"Apabila tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang seorang remaja lelaki tempatan berusia 19 tahun dari arah bertentangan dipercayai memasuki lorong yang dilalui pasangan berkenaan mengakibatkan berlaku pertembungan.
"Pertembungan itu menyebabkan mangsa, Safuan Othman, 47, beralamat di Kampung Sri Pantai, Senggarang, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, isteri nelayan tersebut yang berusia 46 tahun turut mengalami kecederaan serius dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.
Pada masa sama, beliau memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
"Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Asma’i Bin Md Yusoff di talian 013-6550128 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.
"Maklumat juga boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat di talian 07-4343999,” katanya.