KUALA LUMPUR - Seorang bekas pengarah memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) langsung tidak menyentuh peti besi yang menyimpan sebahagian wang RM79 juta hasil penjualan lot tanah di Pulau Pinang.
Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berkata demikian ketika perbicaraan kes yang dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima suapan berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu bernilai RM6.3 bilion serta dua kes pelupusan tanah Kerajaan Negeri mencecah RM208.8 juta.
Zarul Ahmad, 66, berkata, SPRM tidak menggeledah peti besi itu, sebaliknya hadir ke pejabat untuk menyita beberapa dokumen ketika menyiasat kes dihadapi Guan Eng, 65.
Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat, saksi pendakwaan ke-23 itu berkata, wang RM79 juta itu diterima daripada mendiang Datuk Ewe Siew Kheng, berhubung penjualan lot tanah, antara tahun 2013 dan 2017.
"Ketika SPRM datang, sebahagian daripada RM79 juta itu memang ada dalam peti besi, cuma mereka tidak menggeledahnya.
"Jika tidak, bagaimana saya hendak keluarkan dan beri sumbangan kerana pilihan raya semakin hampir?” soalnya.
Menyentuh isu pemberian RM19 juta kepada seorang ahli perniagaan G Gnanaraja, saksi ini yang juga Pengarah Syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) mengulangi pendirian bahawa wang itu diberi bagi menutup siasatan pengubahan wang haram yang dihadapinya.
Menurutnya, perkara itu juga bagi menyelamatkan dirinya selain melindungi Guan Eng kerana terhutang budi.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM3.3 juta bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702.
Kesalahan didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri negeri itu.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul, sebagai upah bagi projek sama, dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Pemimpin itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama, di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 27 Mei ini.