Remaja pandu kereta hingga lima maut mengaku salah, bapa didenda RM15,000

Iklan

KUCHING - Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian lima individu dalam kemalangan di Jalan Stutong Baru, awal tahun ini.

Remaja berkenaan turut mengaku bersalah atas pertuduhan memandu kereta di bawah umur.

Iklan
Iklan

Pengakuan tersebut dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan, yang kemudian menetapkan 17 Jun depan untuk sebutan semula kes selepas menerima laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah turut membenarkan remaja itu diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan ibu bapanya sebagai penjamin.

Iklan

Dia dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan, serta Seksyen 39(1) akta sama kerana memandu kenderaan ketika berumur kurang daripada 16 tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fillanny Siji, manakala remaja itu tidak diwakili peguam.

Iklan

Dalam kejadian pada 14 Januari lepas, kereta yang dipandu remaja tersebut hilang kawalan lalu merempuh dua kenderaan dan dua motosikal.

Akibat kemalangan itu, empat individu maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, bapa kepada remaja terbabit yang berusia 35 tahun turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membenarkan anaknya memandu tanpa pengawasan sewajarnya.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Kuching, Noraini Ahmad, menjatuhkan hukuman denda RM15,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh juga diarahkan menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan selama 100 jam dalam tempoh enam bulan. - Bernama