PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk seorang bekas pengarah eksekutif kerana disyaki bersubahat menggunakan dokumen mengandungi butiran palsu bagi tujuan tuntutan berjumlah kira-kira RM2.5 juta, di sini pada Selasa.
Kesemua suspek ditahan antara jam 4 petang hingga 7 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Ketiga-tiga individu, terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30-an hingga 40-an, direman selama lima hari sehingga 18 Mei selepas permohonan reman dibuat oleh SPRM di Mahkamah Sesyen Putrajaya pada Rabu.
Menurut sumber, perbuatan itu dipercayai dilakukan antara tahun 2022 hingga 2024 dan melibatkan tuntutan bayaran balik serta bayaran bonus yang berjumlah sekitar RM2.5 juta.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Norhaizam Muhammad, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.