PUTRAJAYA – Tiga pegawai daripada dua institusi perbankan di Kuala Lumpur direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram serta rasuah membabitkan permohonan pinjaman berjumlah lebih RM21 juta.
Perintah reman sehingga 18 Mei terhadap kesemua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor selepas permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Sesyen Putrajaya, pada Rabu.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek masing-masing memegang jawatan sebagai pengurus perniagaan, ketua jabatan dan pengurus cawangan.
"Mereka disyaki secara bersama memiliki, mengubah, memindah dan menggunakan wang hasil bayaran rasuah yang diterima daripada tiga syarikat sekitar tahun 2024.
"Berdasarkan siasatan awal, salah seorang suspek yang berjawatan ketua jabatan dipercayai telah meminta dan menerima wang rasuah melebihi RM170,000 daripada tiga syarikat yang membuat lima permohonan pinjaman dengan jumlah keseluruhan melebihi RM21 juta.
"Wang rasuah ini diberikan sebagai balasan kerana memproses dan meluluskan pinjaman-pinjaman berkenaan,” katanya.
Tambah sumber, susulan tangkapan itu, SPRM turut membekukan empat akaun bank milik individu dengan nilai kira-kira RM268,000, selain menyita tiga unit peranti telekomunikasi dan sebuah komputer riba.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Norhaizam Muhammad, ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan berkenaan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” ujarnya.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan bahawa ketiga-tiga individu tersebut ditahan sekitar jam 4 hingga 5 petang selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.