KULIM - Bapa Allahyarham Konstabel Akmal Wafi Annuar menganggap pengorbanan dilakukan anak sulung lima beradik itu sebagai wira dalam keluarga.
Annuar Yusof, 55, berkata, penghormatan diberikan terhadap anaknya sangat bermakna biarpun Akmal Wafi baharu sahaja menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan berkhidmat di Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5, bermula awal tahun ini.
"Saya terharu, arwah baru menyertai PSP (FRU) saya anggap pengorbanan dia baru sikit...tetapi dah diberi penghormatan yang amat sangat...secara peribadi, saya dan keluarga rasa bangga dengan arwah.
"Sebelum ini, dia kerja swasta, gaji besar juga tapi mungkin rezeki dia... nak kata minat atau tak, saya tak pasti...bila duk dalam anggota beruniform, dia lebih berdisiplin...jaga integriti... hari ini saya tengok dia sebagai seorang wira keluarga...satu penghormatan untuknya walaupun pengorbanan (perkhidmatan) dia baru sangat,"katanya.
Beliau ditemui media ketika selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tunku Abdul Rahman Putra (B), Lunas di sini pada jam 11 pagi Rabu.
Beliau dalam masa sama merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu proses pengurusan jenazah dan pengebumian sehingga selesai.
"Saya ucapkan syukur semua berjalan lancar dan terima kasih dari saya sekeluarga kepada PDRM dan PSP Unit 5, Ipoh," katanya.
Ahmad Wafi antara sembilan anggota FRU yang terkorban dalam nahas membabitkan kenderaan milik pasukan itu bertembung dengan lori muatan batu di Jalan Chikus -Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak pada jam kira-kira 8.50 pagi Selasa.
Difahamkan, kenderaan FRU terbabit dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai melaksanakan tugas bawah Op Chariot di Teluk Intan, Perak.