SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada seluruh keluarga anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam nahas jalan raya di Teluk Intan, pagi tadi.
Menurut beliau, kehilangan sembilan anggota pasukan keselamatan dalam insiden menyayat hati itu merupakan berita duka yang menggetarkan perasaan seluruh rakyat Malaysia.
"Mereka adalah barisan hadapan yang telah berkhidmat demi keamanan dan keselamatan negara.
"Pengorbanan mereka amat besar nilainya di sisi masyarakat dan agama,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Abdul Hadi turut mendoakan agar semua keluarga mangsa diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi dugaan tersebut.
"Semoga roh para anggota yang terkorban ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan orang-orang yang beriman.
"Kepada mereka yang masih menerima rawatan akibat kecederaan, saya doakan dikurniakan kesembuhan yang sempurna serta dipermudahkan segala urusan pemulihan,” ujarnya.
Abdul Hadi turut menzahirkan rasa dukacita dan meminta rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan arwah, keluarga serta waris yang terlibat dalam tragedi berkenaan.