PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bukan sahaja komited menjaga keselamatan perairan negara daripada pencerobohan, malah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menggunakan laluan laut.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, berdasarkan data operasi dari tahun 2023 hingga Mei 2025, pihaknya telah berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM18.5 juta.
Rampasan tersebut melibatkan sejumlah 95.4 kilogram dadah termasuk methamphetamine, ganja, ecstasy dan yaba selain 179 liter cecair kimia prekursor dadah sintetik.
"Maritim Malaysia akan terus memperhebat kawalan sempadan maritim negara dalam usaha mengekang sindiket jenayah rentas sempadan, khususnya penyeludupan dadah yang kini semakin licik dan kompleks.
"Sindiket dadah dilihat menjadikan perairan Malaysia sebagai laluan utama, namun ketegasan penguatkuasaan kami telah berjaya mematahkan banyak cubaan. Sekurang-kurangnya 15 individu telah diberkas dan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dianjurkan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan turut dihadiri Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman serta ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah kementerian.
Dalam pada itu, Mohd Rosli berkata, sejak penubuhan agensi itu pada tahun 2005, Maritim Malaysia telah melaksanakan pelbagai rondaan dan operasi di lokasi-lokasi panas yang dikenal pasti sebagai laluan aktif penyeludupan, termasuk di sempadan perairan negara.
Jelasnya, usaha itu sejajar dengan aspirasi Kementerian Dalam Negeri yang mahu semua agensi di bawahnya memperkukuh tindakan membanteras penularan jenayah dadah yang telah menular selama lebih empat dekad.
Selain rondaan laut, Maritim Malaysia turut aktif turun padang ke kawasan komuniti maritim, khususnya perkampungan nelayan yang dikenal pasti terdedah kepada ancaman pengedaran dan penagihan dadah.
"Kami tidak hanya fokus di laut. Kami juga melaksanakan operasi dan program intervensi bersama AADK di kawasan nelayan, bagi memastikan generasi muda tidak terperangkap dengan ancaman dadah," katanya.
Tambah beliau, Maritim Malaysia juga menjalin kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan Pintu Sempadan (AKPS) dan beberapa agensi lain untuk memperkukuh jaringan risikan serta melaksanakan operasi bersepadu secara berterusan.