Nahas FRU: 'Arwah gembira dapat anak perempuan selepas 10 tahun menanti'

Iklan
Gambar Allahyarham Amirudin bersama keluarga. Gambar Ihsan Norazan.

TELUK INTAN – Kegembiraan memiliki anak perempuan selepas 10 tahun menanti menjadi kenangan terakhir buat waris Allahyarham Koperal Amiruddin Zabri yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di sini pada Selasa.

Isterinya, Norazian Mohd Joned, 38, berkata, mereka dikurniakan tiga cahaya mata termasuk seorang anak perempuan, Amira Sofea yang baru berusia setahun, selain dua anak lelaki, Amirul Firdaus, 12, dan Amirul Asyraf, 11.

Iklan
Iklan

Katanya, pemergian suaminya amat dirasai kerana mereka begitu teruja apabila dikurniakan anak perempuan selepas menunggu hampir sedekad.

"Dia sangat gembira bila dapat anak perempuan. Tapi sekarang, dia dah tak ada,” katanya sebak kepada pemberita.

Isteri mangsa, Norazian Mohd Joned, 37, menunjukkan gambar potret keluarga bersama allahyarham suaminya di pekarangan Unit Forensik Hospital Teluk Intan ekoran kejadian kemalangan yang membabitkan lori pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dengan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam hari ini. Foto Bernama

Iklan

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu suaminya ialah tengah hari semalam sebelum Allahyarham berangkat ke Teluk Intan bagi menjalankan tugasan luar sempena sambutan perayaan.

"Dia bersiap seperti biasa, tidak ada apa-apa yang pelik. Dia sempat beritahu, dah biasa kerja luar dan minta saya jangan risau.

Iklan

"Siapa sangka, itu kali terakhir saya lihat dia,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Teluk Intan, di sini.

Waris, Norazian Mohd Joned 37 (kanan) tidak dapat menahan sebak ketika hadir di pekarangan Unit Forensik Hospital Teluk Intan ekoran kejadian kemalangan yang membabitkan lori pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dengan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam hari ini. Foto Bernama

Norazian yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar berkata, suaminya mula berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2011 dan pernah bertugas di beberapa negeri termasuk Johor sebelum dipindahkan ke Sungai Senam, Ipoh.

Dia dimaklumkan mengenai kejadian menyayat hati itu oleh seorang rakan sekerja yang memberitahu ada kemalangan melibatkan Unit 5 dari Sungai Senam.

"Saya cuba hubungi suami tapi tak dijawab. Bila telefon rakan dia pula, dia minta saya bertenang dan bersabar.

"Mula-mula saya tak percaya. Betulkah? Sebab laporan awal kata enam orang maut,” ujarnya.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di kampung halamannya sebaik selesai proses bedah siasat.